JOHOR BAHRU, 30 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperketat pemantauan di stesen minyak khususnya berhampiran sempadan Johor-Singapura bagi mengelakkan kenderaan asing mengisi petrol RON95 susulan pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata walaupun berdepan kekangan jumlah penguat kuasa yang terhad, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan rawak secara berkala kerana RON95 hanya diperuntuk kepada rakyat Malaysia.
“Pengusaha stesen minyak perlu bertanggungjawab dan memainkan peranan memastikan hanya kenderaan tempatan dibenarkan mengisi RON95... jika kenderaan asing hadir, mereka mesti diarahkan mengisi RON97,” katanya kepada media selepas sesi pemeriksaan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan BUDI95.
Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengusaha yang cuai atau sengaja membenarkan penyelewengan berlaku dengan membenarkan kenderaan asing mengisi RON95.
“Rakyat negara jiran seperti Singapura sudah maklum bahawa mereka tidak layak mengisi RON95... justeru, kami berharap pengusaha tidak mengambil mudah perkara ini,” katanya.
KPDN Johor juga akan mengadakan Hari Bertemu Pelanggan bermula esok hingga 7 Okt ini untuk memberi penerangan serta memudah cara pendaftaran subsidi SKPS kepada golongan sasar seperti syarikat logistik, pengusaha teksi, kereta sewa dan van sekolah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial