AM > BERITA

Malaysia Kekal Ahli Majlis ICAO Kategori III Penggal 2025-2028

01/10/2025 11:17 AM

PUTRAJAYA, 1 Okt (Bernama) -- Malaysia berjaya mempertahankan kerusi sebagai Ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di bawah Kategori III bagi penggal 2025 hingga 2028. 

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu diumumkan selepas proses pengundian pada Perhimpunan Agung ICAO ke-42 di Montreal, Kanada semalam dengan delegasi Malaysia diketuai Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah. 

Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Majlis ICAO selama tujuh penggal berturut-turut sejak 2007.

“Ini mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap komitmen Malaysia dalam memajukan keselamatan, inovasi dan kemampanan sektor penerbangan awam global,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang sesi berkenaan, pelbagai usaha melobi telah dilaksanakan termasuk mengadakan 42 mesyuarat dua hala dan pelbagai hala bersama ketua-ketua delegasi negara lain serta pertubuhan serantau.

Kenyataan itu memaklumkan, pada awalnya sebanyak 14 negara bersaing merebut 13 kerusi di bawah Kategori III. Namun, kegagalan Rusia mempertahankan kerusi di bawah Kategori I dan II membuka satu lagi kekosongan di Kategori III.

“Rusia kemudiannya mencalonkan diri di bawah Kategori III, menjadikan keseluruhan pencalonan kepada 15 negara bagi kategori tersebut,” menurut kenyataan itu.

MOT memaklumkan hasil pengundian, Malaysia bersama 13 negara lain akhirnya berjaya memenangi kerusi Ahli Majlis ICAO di bawah Kategori III dengan memperoleh 154 undi, sekali gus berada di kedudukan ketujuh daripada 15 negara yang bertanding.

“Pemilihan kali ini merupakan pencapaian terbaik Malaysia dari segi bilangan negara yang memberikan sokongan,” menurut kenyataan itu.

Sebagai perbandingan, pada 2022 Malaysia memperoleh 136 undi dan berada di kedudukan ke-13 daripada 14 negara yang bertanding.

Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat serta dedikasi semua pihak yang terlibat termasuk pegawai-pegawai Kementerian Pengangkutan, Kementerian Luar Negeri, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Malaysia Aviation Group (MAG), Batik Air, AirAsia dan AirAsia X.

Seiring kejayaan itu, Malaysia akan terus memperkukuh komitmen terhadap ICAO dalam memastikan keselamatan penerbangan, menyokong inisiatif inovasi serta memperjuangkan kemampanan industri penerbangan global.

“Malaysia juga akan terus membangunkan infrastruktur strategik serta meningkatkan keupayaan institusi bagi memenuhi keperluan generasi profesional penerbangan masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan