PUTRAJAYA, 3 Okt (Bernama) – Kejayaan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) bukan hanya bergantung kepada dasar, tetapi menuntut komitmen berterusan semua pihak khususnya Ketua Jabatan untuk memastikan pelaksanaannya menjadi realiti dalam memperkukuh integriti dan tadbir urus negara.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, Mesyuarat Lembaga Pengiktirafan Program CeIO (LPPIB) Siri 25 Bil. 4/2025 memfokuskan kepada pembangunan arahan baharu YAB Perdana Menteri mengenai pelaksanaan Program CeIO selaras dengan dasar semasa di bawah Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2023: Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional (JTK).
Arahan baharu ini dibangunkan bagi menggantikan Arahan YAB Perdana Menteri Siri 1 No. 1 Tahun 2011 yang dikeluarkan di bawah Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2009: Gerakan Pemantapan Keutuhan Sistem Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia.
“Arahan yang dijangka siap menjelang hujung tahun ini, akan menjadi landasan dasar lebih kukuh untuk memperkasakan Program CeIO sebagai inisiatif nasional melahirkan lebih ramai pegawai berkelayakan, berintegriti dan kompeten dalam pengurusan tatakelola serta memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa secara sistematik dan proaktif,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengiktirafan Program CeIO (LPPIB) Siri 25 Bil. 4/2025 di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Beliau berkata, pegawai-pegawai CeIO ini akan menjadi ejen perubahan, penggerak transformasi dan duta integriti di pelbagai peringkat organisasi masing-masing.
Tan Sri Azam berkata, mesyuarat turut membincangkan serta meluluskan penambahbaikan modul-modul CeIO yang dibentangkan oleh Pusat Pembangunan Integriti Korporat (CIDC), merangkumi sektor awam, Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK), sektor swasta dan eksekutif.
Penambahbaikan tersebut melibatkan tempoh pelaksanaan program, pengisian submodul berpandukan dasar Pengurusan Unit Integriti (UI) Agensi Awam dan Pengurusan Unit Integriti dan Governans (IGU) SBK serta kaedah dan wajaran penilaian pentauliahan yang kini turut mengambil kira aspek kemahiran insaniah dan kemahiran teknikal.
Turut hadir Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi), Jabatan Audit Negara, Datuk Nor Salwani Muhammad; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Nor Azimah Abdul Aziz; Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), SPRM Dato’ Mohd Hafaz Nazar; Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Abd Rahman Abu Bakar; Pengerusi Green Packet Berhad dan Ahli Lembaga Pengarah Kiple Pay Sdn Bhd, Datuk Seri Dr. Yusof Ismail; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar dan Ethics Arbitrator Malaysian Direct Distribution Association (MDDA), Dr. Zainal Abidin Abdul Majeed.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial