BATU PAHAT, 8 Okt (Bernama) -- Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) komited membantu kerajaan Johor melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Naib Canselor UTHM Prof Dr Mas Fawzi Mohd Ali berkata usaha itu selaras dengan hasrat membangunkan modal insan negeri yang berdaya saing, inklusif serta mampu mendepani cabaran global.
“Setiap tahun, lebih 1,000 pelajar UTHM berjaya menamatkan pengajian masing-masing dan kebanyakannya berlatarbelakangkan pendidikan berteraskan TVET. Mereka bukan sahaja cemerlang dalam ilmu tetapi bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 dan era digitalisasi global.
“Pendidikan kini tidak hanya tertumpu kepada apa yang tertulis di dalam buku tetapi perlu mampu mencipta makna, manfaat serta nilai tambah kepada masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Pendidikan Johor Kali Ke-4 (SPJ-IV) di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM di sini hari ini.
Beliau berkata UTHM turut komited memperkasakan TVET agar tidak lagi dianggap sebagai pilihan kedua, sebaliknya diiktiraf sebagai arus perdana pembangunan modal insan negara.
Mas Fawzi berkata seminar bertemakan ‘Pendidikan Untuk Kesejahteraan Sosial: Menginspirasikan Inovasi dan Kepimpinan di Era Malaysia MADANI’ itu menjadi platform pertemuan minda antara cendekiawan, pendidik, pelajar dan penggubal dasar untuk berkongsi pandangan serta memperkukuh jaringan kepakaran.
“Fokus kami bukan sekadar melahirkan tenaga kerja berkemahiran tetapi mengajak semua pihak melihat pendidikan termasuk TVET sebagai tanggungjawab bersama dengan semangat kolaborasi dan keberanian mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.
Beliau berkata ilmu ialah jambatan kepada kesejahteraan sosial, sekali gus menyeru semua peserta agar terus menyemarakkan agenda ilmu di peringkat negeri dan negara.
Seminar yang berlangsung selama dua hari hingga esok itu dianjurkan oleh Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) UTHM, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan menyasarkan penyertaan lebih 1,000 pelajar serta pendidik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial