AM > BERITA

Kerja Pembersihan Pascabanjir Siap Dua Hingga Tiga Hari - SWCorp

08/10/2025 06:49 PM

KUANTAN, 8 Okt (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sentiasa bersiap siaga melaksanakan kerja-kerja pembersihan pascabanjir bagi memastikan kawasan yang terjejas berada dalam keadaan selamat.

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed berkata berdasarkan pengalaman lepas, operasi pembersihan mengambil masa dalam tempoh dua hingga tiga hari selepas banjir di kawasan yang terlibat kembali pulih.

“Kami sudah mempunyai perancangan dan prosedur operasi standard (SOP) yang tersusun untuk kawasan terlibat dibersihkan dan kembali seperti sediakala (selepas dua hingga tiga hari),” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS) 2025 peringkat negeri Pahang di sini hari ini. 

Khalid berkata pihaknya juga telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan longkang secara berkala bagi mengurangkan risiko banjir, namun keberkesanan usaha itu bergantung kepada kesedaran masyarakat.

Sementara itu, Khalid berkata sebanyak 241 sekolah menengah dan 82 sekolah rendah di seluruh Pahang menyertai PerKISS pada tahun ini dengan jumlah kutipan bahan kitar semula mencecah 500,000 kilogram melibatkan nilai RM332,000.

“Ini satu pencapaian yang amat besar dan membanggakan. Kami berterima kasih kepada rakan strategik khususnya Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Alam Flora Sdn Bhd serta semua pihak yang memberi komitmen,” katanya.

Beliau berkata matlamat utama PerKISS bagi memupuk kesedaran kebersihan dan amalan kitar semula sejak di bangku sekolah supaya ia menjadi budaya hidup berterusan dalam kalangan generasi muda.

“Sepanjang lapan tahun pertandingan ini diadakan, kita melihat peningkatan ketara dari segi penyertaan dan jumlah kutipan,” katanya sambil menambah pihaknya optimis untuk mencapai lebih 90 peratus penyertaan sekolah di negeri ini pada tahun depan.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan