PENDANG, 9 Okt (Bernama) -- Usahawan di bawah bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berjaya mencatat nilai jualan keseluruhan berjumlah RM160 juta, bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Sept lepas, kata Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh.
Beliau berkata nilai jualan itu, diperoleh menerusi pelbagai program di bawah pelaksanaan MADA seperti Program Agropreneur Muda, Program Agropelancongan, Pembangunan Produk dan Penjenamaan (2P), Program Modal Insan serta Pusat Pemprosesan, Pembungkusan dan Pemasaran (3P).
“Dalam usaha memperkukuh pembangunan keusahawanan di Kawasan Muda, MADA terus komited melaksanakan pelbagai program pembangunan usahawan yang berfokus kepada peningkatan kapasiti, kemahiran dan daya saing usahawan di bawahnya.
“Pelbagai inisiatif dilaksanakan melalui peruntukan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) seperti geran pembangunan usahawan, kursus latihan generik dan teknikal, bimbingan perniagaan, akses pasaran serta kemudahan pembiayaan,” katanya pada Perasmian Karnival Rancak Hub Industri Makanan MADA di sini, hari ini.
Beliau berkata lagi, usaha berterusan yang dilaksanakan oleh MADA itu telah memberi manfaat kepada lebih 2,419 orang usahawan dalam pelbagai sektor.
“Kejayaan MADA dalam membimbing usahawan-usahawannya telah dibuktikan di dalam Majlis Anugerah Top 20 Pusat Agropelancongan di bawah KPKM 2025 yang berlangsung semalam. Seramai tiga usahawan Agropelancongan MADA terdiri daripada Pengusaha Tamteh Multicentre, Anjung Kuala dan Nipah Klasik berjaya melonjakkan hasil jualan tahunan sehingga melepasi RM1 juta.
“MADA juga telah menganjurkan Karnival Rancak Hub Industri Makanan MADA yang berlangsung selama tiga hari sehingga Sabtu ini, sebagai usaha memperkasakan usahawan di Kawasan Muda,” katanya.
Dr Ismail berkata pada majlis itu, sebanyak 20 geran bagi Program Agropreneur Muda Fasa 3/2025 dan dua usahawan bagi Anugerah Usahawan Produk Berimpak Kategori PKS 1/2 Tahun 2025, telah disampaikan.
“Penyampaian geran ini telah membuktikan KPKM melalui MADA sentiasa menggalakkan lebih ramai usahawan dilahirkan. MADA juga yakin, pelaksanaan program pembangunan usahawan itu akan terus menjadi pemacu utama dalam meningkatkan pendapatan golongan sasar, memperkukuh keterjaminan makanan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara mampan,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Danial Haikal Husmizar, 21, dari Arau, Perlis yang menerima Geran Agropreneur Muda berjumlah RM30,000 untuk projek ternakan kambing yang diusahakan sejak 2021, berkata dia tidak menyangka akan menerima geran berkenaan.
“Saya memohon geran ini melalui dalam talian. Prosesnya lebih cepat jika semua dokumen yang diperlukan disertakan dengan lengkap. Geran ini akan bantu saya dalam pelbagai aspek termasuk jualan dan tambah baik kandang, MADA memang banyak membantu perniagaan saya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial