AM > BERITA

FFC x TMTG: Sembilan Rakyat Malaysia Selamat, Semua Aktivis Berada Di Penjara Ketziot - MyCARE

09/10/2025 04:05 PM

SERDANG, 9 Okt (Bernama) -- Sembilan aktivis Malaysia dalam misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) dilaporkan selamat selepas kapal dinaiki mereka dirampas secara haram oleh rejim Zionis semalam sebelum ditunda ke Pelabuhan Ashdod, Israel.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata peguam daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) memaklumkan semua 145 aktivis misi berkenaan telah dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev, Israel.

Beliau berkata peguam ADALAH juga telah bertemu dengan tujuh rakyat Malaysia bagi urusan guaman selanjutnya.

“Dua orang lagi dijangka dapat ditemui hari ini (waktu Gaza),” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini FFC di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata peguam ADALAH telah memohon untuk menghadiri semua perbicaraan melibatkan aktivis yang ditahan dan akan terus memberikan maklumat terkini dari semasa ke semasa.

“Terdapat di antara mereka mengalami keganasan semasa pemintasan dan peguam telah meminta untuk bertemu dengan mereka awal petang ini (waktu Gaza),” katanya.

Beliau berkata aktivis-aktivis juga melaporkan barangan peribadi mereka seperti pakaian, power bank dan lain-lain telah dirampas, namun tiada kecederaan serius setakat ini disahkan termasuk kemungkinan berlakunya insiden keganasan terhadap delegasi Malaysia.

Selain itu, Kamarul Zaman memaklumkan terdapat kemungkinan tiga ahli parlimen Turki yang menyertai flotilla berkenaan akan dihantar pulang sama ada malam ini atau pagi esok.

“Perbicaraan tribunal melibatkan semua delegasi yang ditahan termasuk dari Malaysia dijangka diadakan dalam tempoh dua hari lagi sebelum mereka boleh dibebaskan,” katanya.

Kamarul Zaman berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memaklumkan telah menghubungi Presiden Turkiye Presiden Recep Tayyip Erdogan berhubung perkara berkenaan dan usaha diplomatik sedang dijalankan bagi menguruskan proses penghantaran pulang rakyat Malaysia.

Misi kemanusiaan FFC dan TMTG itu melibatkan kira-kira 150 aktivis dari 25 buah negara dengan menaiki sembilan kapal termasuk kapal Conscience dan Umm Saad dipintas tentera Zionis, semalam ketika berada kurang 120 batu nautika dari Gaza pada 10.50 pagi waktu Malaysia.

Lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Conscience ialah Ketua Delegasi Malaysia Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil manakala seorang lagi doktor perubatan, iaitu Dr Maziah Muhammad berada di atas kapal Umm Saad.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan