AM > BERITA

Op Khas Gempur: 4,342 Kenderaan Perdagangan Dikenakan Tindakan

09/10/2025 06:51 PM

SHAH ALAM, 9 Okt (Bernama) -- Sebanyak 4,342 kenderaan perdagangan dikenakan tindakan kerana melakukan pelbagai kesalahan sepanjang Op Khas Gempur Perdagangan di seluruh Selangor bermula 1 Sept hingga semalam.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Azrin Borhan berkata sejumlah 13,805 kesalahan direkodkan dengan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh merupakan kesalahan tertinggi sebanyak 2,857.

“Ia diikuti dengan 2,647 kesalahan tiada lesen memandu (CDL) manakala ketiga ialah tiada perlindungan insurans dengan 1,854 kesalahan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat JPJ di Selangor hari ini.

Beliau berkata keseluruhannya sebanyak 60,112 kenderaan diperiksa sepanjang operasi itu dengan 20,217 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan sepanjang tempoh yang sama.

Azrin berkata operasi itu dilaksanakan bagi memastikan pemandu dan pengendali kenderaan perdagangan mematuhi sepenuhnya peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) berserta Kaedah-kaedah di bawahnya dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Sementara itu, Azrin berkata operasi khas bas kilang yang dilakukan pada 6 hingga 10 pagi semalam di seluruh Selangor menyaksikan sebanyak 75 bas diperiksa dan 17 daripadanya disita.

Menurut beliau, sebanyak 186 notis dikeluarkan dalam operasi itu dengan 143 kesalahan dilakukan antaranya membabitkan penggunaan pemandu warga asing, iaitu 11 orang.

Beliau berkata operasi khas itu bagi memastikan tahap pematuhan pemandu dan pengusaha bas kilang terhadap peraturan serta undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. 

“Hasil pemeriksaan mendapati masih terdapat pemandu dan pengusaha yang gagal mematuhi syarat lesen memandu antaranya menggunakan pemandu warga asing, permit, serta aspek teknikal dan keselamatan kenderaan,” katanya. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan