AM > BERITA

Dewan Rakyat Lulus RUU Agensi Persendirian (pindaan) 2025

09/10/2025 07:46 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Agensi Persendirian (Pindaan) 2025, yang antara lain bertujuan menambah baik proses pengeluaran dan pembaharuan lesen bagi menjalankan perniagaan agensi persendirian.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 14 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Pindaan kepada Akta Agensi Persendirian 1971 (Akta 27) itu bagi memperkasakan kawal selia agensi persendirian yang menjalankan perniagaan atau aktiviti berkaitan kawalan keselamatan dan penyiasatan persendirian dalam negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata agensi persendirian diwajibkan mematuhi syarat untuk mengutamakan penggajian pengawal keselamatan tempatan berbanding warga asing.

Beliau berkata berdasarkan data, sehingga hari ini, jumlah pengawal keselamatan tidak bersenjata adalah sebanyak 118,196 orang, pengawal keselamatan bersenjata (4,826), pengawal peribadi (1,247), penyiasat persendirian (36) dan pengawal keselamatan depoh seramai 5,948.

“KDN menegaskan bahawa pengambilan pengawal keselamatan warga tempatan adalah keutamaan. Agensi terbabit mesti utamakan warga tempatan sebelum ambil warga asing.

“Untuk pengambilan warga asing hanya dibenarkan sekiranya terdapat kekurangan tenaga kerja tempatan,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu.

Beliau berkata nisbah pengambilan pengawal keselamatan tempatan kepada pengawal keselamatan asing ialah 2:1 yang bertujuan untuk memelihara peluang pekerjaan rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata peranan agensi tersebut adalah merangkumi perkhidmatan mengawal dan melindungi keselamatan individu atau harta dan ia berbeza dengan punca kuasa polis.

“Untuk PDRM (Polis Diraja Malaysia), Seksyen 12 akta ini memperuntukkan kuasa polis memasuki dan menggeledah premis agensi persendirian yang disyaki melakukan kesalahan,” katanya.

Terdahulu ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua, Shamsul Anuar berkata Akta 27 tidak pernah dipinda sejak dikuatkuasakan dan langkah meminda undang-undang itu penting untuk kekal relevan dengan keperluan semasa dan sektor berkenaan.

Sementara itu, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) ketika berbahas menuntut supaya langkah pendigitalan yang dicadangkan dalam pindaan akta tersebut mestilah dilaksanakan dengan telus, selain memastikan sistem dalaman kementerian untuk tadbir urus agensi persendirian tidak disalahgunakan 

Senada, Rodziah Ismail (PH-Ampang) yakin sistem secara digital Sistem Pengurusan Industri Keselamatan Elektronik (Electronic Security Industry Management System) (ESIM) mampu memperkukuh tadbir urus dan kecekapan sektor berkenaan.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan