AM > BERITA

Pembinaan Loji Jana Kuasa Besar Sabah Dipertimbang Selepas Projek Penerokaan Huluan Gas Asli Dilaksana

09/10/2025 07:27 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Kerajaan negeri dan Persekutuan sebelum ini telah mempertimbangkan cadangan pembangunan loji jana kuasa bebanan asas berkapasiti besar di Pantai Timur Sabah, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Namun, beliau berkata perkara itu berdepan cabaran disebabkan oleh kos operasi yang tinggi kerana ketiadaaan sumber bahan api yang mampu milik.

“Bagaimanapun, berdasarkan input daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), pertimbangan akan dibuat selepas projek penerokaan huluan bagi pembekalan sumber bahan api gas asli oleh syarikat pembekal gas asli berjaya dilaksanakan,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang ingin tahu usaha kementerian dalam menangani jurang infrastruktur tenaga dan air di Sabah yang mengancam keselamatan negara.

Wong berkata ketiadaan loji jana kuasa berkapasiti besar di Pantai Timur Sabah menyebabkan aset keselamatan negara terdedah semasa gangguan bekalan elektrik besar-besaran bulan lepas.

Sebagai langkah penyelesaian tuntas, Akmal Nasrullah berkata kerajaan Sabah menumpukan lima pendekatan utama, antaranya projek solar berskala besar (LSS) dan Battery Energy Storage System (BESS) di Pantai Timur Sabah, projek loji jana kuasa gas (LNG) terapung di Tawau, projek hidro berkapasiti 141 megawatt (MW) di Lahad Datu serta pembangunan projek jana kuasa berasaskan geoterma dengan potensi kapasiti 100 MW di Tawau.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui Unit Perancang Negeri (UPEN) Sabah telah mengemukakan permohonan peruntukan untuk pembinaan serta pembangunan Talian Penghantaran Southern Link (TPSL) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kepada Kementerian Ekonomi.

“Bagi membantu Sabah dalam fasa peralihan ini juga, kerajaan Persekutuan bersetuju supaya permohonan peruntukan pembangunan bagi projek bekalan elektrik negeri Sabah RMK13 diberikan secara pinjaman dengan mengemukakan permohonan mengikut Rolling Plan (RP) melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

“Oleh itu, kerajaan negeri Sabah diminta untuk meneliti semula senarai projek-projek bekalan elektrik yang dimohon secara pinjaman di bawah RP untuk dikemukakan kepada PETRA,” katanya.

Kerajaan Persekutuan juga akan terus menyalurkan subsidi tenaga kepada Sabah hingga 2030, dengan jumlah indikatif RM3.54 bilion termasuk untuk bahan api, solar berskala besar, tarif dan tenaga boleh baharu.

“Tarif elektrik asas di Sabah adalah pada 34.52 sen per kilowatt jam (kWj) manakala kos keseluruhan pembekalan elektrik kepada pengguna adalah pada 52 sen/kWj bagi 2024 (51.29 sen/kWj tahun 2023).

“Jurang antara tarif dan kos telah mengakibatkan syarikat utiliti elektrik di Sabah, iaitu Sabah Electricity tidak dapat beroperasi tanpa sokongan subsidi daripada kerajaan Persekutuan bagi pembekalan elektrik kepada pengguna di Sabah dan Labuan,” katanya.

Bagi membantu kerajaan Sabah dalam memastikan jaminan akses kepada bekalan air, Akmal Nasrullah berkata kerajaan Persekutuan telah meluluskan RM2.9 bilion secara pinjaman bagi pelaksanaan 16 projek bekalan air di Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), termasuk pembinaan loji rawatan air (LRA) baharu dan menaik taraf sistem sedia ada.

Beliau berkata daripada jumlah itu, empat projek di bawah peruntukan berjumlah RM300 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan isu-isu bekalan air di Sabah.

“Kesemua 16 projek yang sedang dilaksanakan ini merangkumi pembinaan LRA baharu, menaik taraf LRA sedia ada, kajian sumber air, kajian kebolehlaksanaan projek bekalan air dan penyelenggaraan sistem bekalan air. 

“Selain itu, Program Pengurangan Air Tidak Terhasil (NRW) Kebangsaan Pendekatan 1 Fasa 1 juga telah dilaksanakan dengan peruntukan berjumlah RM87.1 juta,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan