KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Trend inflasi di Malaysia kekal stabil kira-kira dua hingga tiga peratus bagi tempoh 2010-2024 walaupun berlaku peningkatan kadar gaji minimum secara berkala, menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2026 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.
Laporan berkenaan menyatakan bahawa pengiraan kementerian itu membuktikan peningkatan gaji dan kuasa beli isi rumah tidak menyebabkan tekanan yang ketara kepada inflasi, dengan gaji minimum ditetapkan pada kadar RM1,700 pada Belanjawan 2025.
“Sebaliknya, gaji yang lebih tinggi telah mengukuhkan permintaan domestik melalui peningkatan kapasiti penggunaan bagi kumpulan berpendapatan rendah.
“Situasi tersebut juga selaras dengan jangkaan Bank Negara Malaysia bahawa kesan menyeluruh terhadap inflasi kekal terkawal walaupun berlaku perubahan dasar domestik, termasuk semakan semula terhadap gaji minimum,” menurut laporan berkenaan.
Usaha peralihan ke arah pelaksanaan gaji minimum bermula sejak 1947 menerusi pembentukan Majlis Gaji, sebelum Perintah Gaji Minimum diwartakan pada 2012 sebagai langkah penting menjaga golongan yang bergaji rendah.
Sejak itu, gaji minimum telah disemak semula sebanyak lima kali dan meningkat secara beransur-ansur daripada RM900 bagi Semenanjung Malaysia dan RM800 bagi Sabah, Sarawak serta Labuan pada 2013, kepada kadar semasa RM1,700.
Laporan itu turut menolak beberapa tanggapan umum bahawa warga asing, wanita, belia, pekerja sektor pembinaan dan pertanian serta pekerja di negeri kurang membangun menerima pendapatan di bawah paras gaji minimum.
“Bagaimanapun, data bercanggah dengan tanggapan tersebut kerana majoriti penerima bergaji di bawah paras minimum adalah dalam kalangan pekerja tempatan, lelaki, kumpulan umur 25-34 tahun serta pekerja sektor perkhidmatan dan pembuatan. Kira-kira satu pertiga daripada golongan pekerja tersebut bekerja di negeri maju seperti Selangor dan Johor.
“Situasi ini berlaku kerana kadar semakan gaji minimum tidak cukup menarik kepada pekerja tempatan, khususnya dalam industri berasaskan buruh. Justeru, pendekatan yang lebih komprehensif penting untuk merealisasikan kerangka Ekonomi MADANI seterusnya melahirkan tenaga kerja yang lebih berdaya tahan,” katanya.
Selain itu, dokumen terbabit menyatakan bahawa semua Laporan Majlis Perundingan Gaji (MPGN) secara konsisten mengesahkan bahawa gaji minimum telah memberikan manfaat kepada majikan dan pekerja.
Majikan dapat mengekalkan dan memperluas penggunaan automasi untuk tingkat kecekapan, manakala pekerja kekal menerima pakej saraan termasuk elaun, faedah tunai lain, bonus dan latihan.
Laporan berkenaan turut merumuskan bahawa pelaksanaan dasar gaji minimum sahaja tidak memadai dalam menangani isu kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah, tetapi perlu dilengkapi dengan dasar khusus lain bagi mengurangkan penggajian pekerja asing di pelbagai sektor ekonomi.
Namun, Laporan Tinjauan Ekonomi 2026 menekankan bahawa pelaksanaan gaji minimum berdepan dengan cabaran sendiri, termasuk perniagaan berskala kecil yang mengalami kesukaran membayar gaji tinggi kerana kekangan sumber serta kapasiti terhadap agensi penguatkuasaan untuk memantau pelaksanaan dasar itu.
“Berdasarkan laporan MGPN, secara purata kira-kira sembilan peratus majikan tidak mematuhi dasar gaji minimum. Analisis dalaman juga menunjukkan anggaran 23.4 peratus pertubuhan tidak membayar pekerja mengikut kadar semasa, dengan 91.3 peratus merupakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan 8.7 peratus ialah firma besar,” menurut laporan itu.
Laporan Kementerian Kewangan itu turut mencadangkan beberapa penambahbaikan seperti pengukuhan mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan merentas semua sektor serta mengkaji langkah mewajibkan kenaikan gaji tahunan berstruktur sejajar dengan trend inflasi dan produktiviti.
Justeru, Belanjawan 2026 yang merupakan belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), bakal menandakan permulaan penting dalam merangka hala tuju ekonomi dalam jangka masa sederhana ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Ekonomi Malaysia juga diunjur mengekalkan momentum pertumbuhan pada 2026 antara 4 hingga 4.5 peratus didorong oleh permintaan domestik yang kukuh dan sektor luaran yang berdaya tahan.
Sementara itu, Teras "Menaikkan Lantai" menjadi antara elemen utama dalam kerangka Ekonomi MADANI yang dizahirkan melalui Belanjawan 2026 bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Agenda pembangunan ini memerlukan kerajaan untuk melindungi rakyat yang merupakan aset negara paling bernilai. Penekanan akan diberikan kepada usaha memastikan taraf kehidupan yang wajar seterusnya menyediakan peluang untuk meningkatkan lagi kesejahteraan rakyat,” menurut laporan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial