AM > BERITA

Sultan Nazrin Berkenan Rasmi Dua Mercu Tanda Taiping Tahun Depan - Nga

10/10/2025 04:54 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan untuk merasmikan Pasar Warisan Negara Taiping serta projek naik taraf landskap Taman Tasik Diraja Taiping bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-70 baginda pada tahun depan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming selepas menghadap baginda hari ini.

Nga dalam satu kenyataan berkata Pasar Warisan Taiping yang merupakan pasar awam pertama di Malaysia dengan sejarah lebih 140 tahun, mula menjalani kerja pembinaan semula pada 2019, namun terpaksa ditangguhkan selepas didapati berlaku kerosakan serius pada struktur kayu asal akibat serangan anai-anai.

Nga berkata selepas beliau dilantik sebagai menteri, peruntukan tambahan sebanyak RM11.9 juta telah diluluskan bagi meneruskan semula kerja-kerja pembinaan itu.

“Pasar Warisan Taiping merupakan mercu tanda bersejarah di bandar warisan Taiping yang kaya dengan nilai warisan.

“Menariknya, sebanyak 30 peratus daripada bahan binaan pasar itu menggunakan semula kayu asal berusia 140 tahun yang masih kukuh, bagi mengekalkan keaslian seni bina dan nilai sejarah pasar berkenaan,” katanya menerusi kenyataan itu.

Dalam pada itu, Nga turut mempersembahkan pencapaian Malaysia pada peringkat antarabangsa menerusi kementerian beliau, kepada baginda.

Antaranya, Malaysia yang diwakili KPKT telah dipilih sebulat suara sebagai Presiden Perhimpunan UN-Habitat bagi penggal 2025-2029 dalam mesyuarat di Nairobi, Kenya pada 31 Mei lepas.

“Atas kejayaan menerajui ekonomi kitaran, Malaysia juga bakal menerima Anugerah Khas Tertinggi daripada Yayasan Zero Waste Foundation di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 19 Okt 2025 di Istanbul, Turkiye nanti,” katanya.

Pada sesi menghadap itu, Sultan Nazrin turut berkenan menerima cenderahati istimewa yang dihasilkan daripada bahan kitar semula oleh pelukis tempatan daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-69 baginda pada November ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan