KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 menyaksikan Kementerian Pertahanan (MINDEF) menerima peruntukan RM21.7 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM500 juta berbanding 2025 manakala Kementerian Dalam Negeri (KDN) diperuntukkan RM21.2 bilion, meningkat RM1.7 juta.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keutamaan adalah untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara meliputi beberapa ikhtiar iaitu pertama, menyelenggara dan membeli aset pertahanan dengan RM6 bilion diperuntukkan termasuk perolehan baharu Medium, Short dan Very Short Range Air Defence, dua Multi Role Support Ship dan 10 kenderaan Batalion Malaysia (MALBATT).
“Kedua, menyelenggara dan membeli aset PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan badan beruniform di bawah KDN dengan peruntukan RM1 bilion termasuk perolehan baharu 100 pickup 4x4 untuk risikan dan operasi PDRM, empat bot ronda Fast Patrol Vessel Pasukan Polis Marin (PPM) dan sebuah pesawat udara Maritime Surveillance Aircraft Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).
“Ketiga, membina dan menaik taraf fasiliti baharu badan beruniform dengan kos lebih RM1.5 bilion antaranya Kompleks APMM Negeri di Tok Bali, Kelantan; Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak dan Balai Polis Lawin, Gerik di Perak; Pembaharuan Kompleks Bersepadu APMM dan PPM Labuan; Kompleks Zon Maritim Kudat, Sabah dan Pusat latihan Artileri, Kem Syed Sirajuddin, Gemas di Negeri Sembilan.
“Selain itu, naik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh, Miri di Sarawak; Tiga Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sungai Nibong, Sungai Banting dan Sekinchan di Selangor,” katanya ketika membentangkan belanjawan bertemakan “Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat” di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sejumlah RM45 juta disediakan untuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi terus melindungi sempadan negara.
“Untuk memenuhi keperluan 220 tenaga kerja AKPS, keutamaan diberikan untuk melantik daripada kalangan veteran tentera bagi kesiapsiagaan penuh,” katanya.
Anwar berkata syarikat yang dianugerahkan kontrak perolehan MINDEF, melalui skim Profesional Training And Education For Growing Entrepreneurs atau PROTEGE akan menyediakan peluang pekerjaan untuk veteran di samping memberi latihan sijil dan diploma kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum bersara termasuk pembiayaan program Work-Based Learning (WBL) dan Readiness To Work Programme.
Bagi meningkatkan tahap keselamatan di kawasan Pantai Timur Sabah, Anwar berkata Pelantar Laut Tun Sharifah Rodziah yang akan tamat tempoh pengoperasian pada Jun 2026, bakal digantikan dengan sebuah Multi Purpose Command Platform baharu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial