AM > BERITA

RM5.9 Bilion Peruntukan Rentas Kementerian Untuk Malaysia Terus Terajui Bidang AI- PM Anwar

10/10/2025 06:08 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Malaysia akan terus menerajui bidang kecerdasan buatan (AI) serta menyubur aktiviti penyelidikan, pembangunan, komersial dan daya cipta (RDCI) dengan peruntukan rentas kementerian hampir RM5.9 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam ikhtiar menuju status negara AI menjelang 2030, Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) akan menerima hampir RM20 juta untuk membangunkan bakat berkemahiran tinggi, memperkukuh infrastruktur digital dan mencipta ekosistem AI yang cekap.

Beliau berkata kerajaan juga bercadang memberikan potongan cukai tambahan 50 peratus kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), bagi perbelanjaan kos latihan berkaitan AI dan keselamatan siber yang diiktiraf MyMahir National AI Council for Industry yang diterajui bersama Talentcorp dan MyDigital.

“Sebuah Sovereign AI Cloud akan dibina oleh MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dengan pelaburan RM2 bilion.

“MCMC turut menubuhkan AI Transformation Centre dengan kerjasama Universiti Multimedia dan Center of Excellence in Ethics for Emerging Technologies sebagai pusat R&D (penyelidikan dan pembangunan) serta AI yang peka budaya,” kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri dalam ucapannya turut mengumumkan peruntukan RM53 juta bagi Geran Pecutan Digital Malaysia bagi mempercepat pertumbuhan serta penerimagunaan teknologi seperti blockchain, AI dan perkomputeran kuantum.

“Sementara MIMOS akan membangunkan teknologi blockchain dan pengesanan deepfake,” kata beliau yang turut mengumumkan peruntukan RM15 juta untuk program seperti Malaysia Techlympics, Minggu Sains Negara, Rehlah Sains dan Science on Wheels, bagi membudayakan sains, teknologi dan daya cipta dalam kalangan belia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan