KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM32 juta bagi menangani penipuan dalam talian atau scam dan ancaman siber, termasuk jenayah seksual yang mengeksploitasi kanak-kanak di ruang siber menerusi Belanjawan 2026.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan bertemakan “Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat” berkata Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menubuhkan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi bagi memperkukuh kedaulatan digital dan keselamatan siber negara.
“Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) kini dikemudi secara langsung oleh PDRM (Polis Diraja Malaysia) agar pengendalian kes penipuan kewangan lebih pantas dan cekap dengan peruntukan sebanyak 12 juta,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata peranan Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) PDRM akan diperkasa dalam menangani jenayah seksual yang mengeksploitasi kanak-kanak di ruang siber dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.
“Ini bagi memodenkan sistem dan kepakaran forensik digital, selain menubuhkan Behavioural Science Unit yang menganalisis pola tingkah laku dan profil jenayah,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata kerajaan bersetuju untuk membentangkan Rang Undang-Undang Antibuli 2025 pada sesi persidangan kali ini.
“Seluruh kekuatan dan tenaga jentera merentasi kementerian digembleng bagi mengekang gejala buli. KPM (Kementerian Pendidikan) membangunkan Kerangka Antibuli Sekolah (SAFE) sebagai rangka menyeluruh pencegahan buli di sekolah.
“Ini termasuk memperkasakan peranan guru dan murid melalui Program Amalan Sekolah Penyayang. KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi) meningkatkan keselamatan mahasiswa di kampus dengan menambah CCTV (kamera litar tertutup) dan menganjurkan program sahsiah serta kepimpinan sebagai bentuk pencegahan buli dan ragging (penderaan),” katanya.
Selain itu, Anwar berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan sokongan psikososial melalui sesi kaunseling berkelompok.
“Sementara Kementerian Komunikasi melaksanakan Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan tahap kesedaran siber dalam kalangan murid sekolah manakala Rakan Muda menggerakkan ikhtiar “Lawan Buli” dalam kalangan belia di akar umbi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial