AM > BERITA

Belanjawan 2026 Perkasa Pengangkutan Awam Negara - Prasarana

10/10/2025 09:34 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Langkah memperkukuh sistem pengangkutan awam negara seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026 bakal memberikan manfaat kepada rakyat secara menyeluruh, menurut Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Menyambut baik usaha tersebut, Prasarana menerusi kenyataan hari ini berkata peruntukan RM1 bilion bagi penggantian 26 unit tren baharu LRT Laluan Kelana Jaya amat dialu-alukan memandangkan laluan itu merupakan laluan paling sibuk di Lembah Klang dan menjadi nadi utama mobiliti harian rakyat.

“Pihak Prasarana juga sambut baik sokongan kerajaan bagi LRT Laluan Shah Alam yang kini memasuki fasa akhir kesiapsiagaan menjelang pengoperasian serta perkhidmatan RTS Link Johor Bahru–Singapura yang dijangka dibuka menjelang 1 Januari 2027,” menurut kenyataan itu.

Menurut Prasarana, peruntukan untuk memperoleh 100 van mobiliti khas bagi pergerakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) juga adalah selari dengan aspirasi pihaknya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua rakyat Malaysia.

“Seiring aspirasi Kerajaan MADANI, Prasarana akan terus meningkatkan kecekapan operasi dengan memfokuskan kepada usaha penambahbaikan infrastruktur, naik taraf sistem dan peningkatan tahap perkhidmatan secara berterusan demi menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih selamat, selesa dan dipercayai kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.

Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini merupakan Belanjawan MADANI Keempat bertemakan “Belanjawan Rakyat’.

Ia adalah belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) sekali gus menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan