KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 mencerminkan iltizam kerajaan dalam memacu pembangunan lestari secara seimbang dan inklusif, kata Tokoh Kejuruteraan Negara 2025 Prof Datuk Seri Dr Zaini Ujang.
Beliau berkata belanjawan kali ini menumpukan kepada penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas yang menyokong agenda pembangunan mampan di seluruh negara.
“Secara keseluruhan, Belanjawan 2026 memberi penekanan kepada penyediaan infrastruktur ke arah pembangunan lestari dan gaya hidup lestari.
“Banyak projek mitigasi bencana yang tertangguh telah dimuktamadkan dengan biaya yang besar, melebihi tahun-tahun sebelumnya, misalnya Rancangan Tebatan Banjir (RTB),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen hari ini mengumumkan peruntukan RM2.2 bilion sebagai langkah pencegahan banjir jangka panjang.
Ia merangkumi pelaksanaan 43 projek RTB berkeutamaan tinggi mengikut jadual, termasuk 12 RTB baharu yang mula dilaksanakan tahun hadapan.
Zaini berkata perlindungan khazanah alam turut diberi penekanan melalui pelaksanaan inisiatif seperti Denai Sungai Kebangsaan dan Ecological Fiscal Transfer (EFT) yang menyokong konsep kesihatan bumi.
“Pembangunan lestari itu turut memberi tumpuan bukan sahaja kepada infrastruktur di kawasan perbandaran, bahkan kepada prasarana asas luar bandar khususnya jalan kampung, bekalan air dan elektrik di luar bandar,” katanya.
Beliau berkata Belanjawan 2026 juga memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam menyeimbangkan aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar, selaras dengan keupayaan kewangan serta prinsip tadbir urus yang telus.
“Saya berpendapat Belanjawan 2026 merupakan penyerlahan iltizam kerajaan untuk memastikan pembangunan lestari dapat dipacu sebaiknya, tanpa meminggirkan mana-mana pihak yang perlu dibantu dan dipacu.
“Ia menumpukan kepada aspek pengurusan bencana, kesihatan bumi, kemudahan asas dan pelestarian alam sekitar secara menyeluruh dan seimbang,” katanya.
Zaini berkata peruntukan yang disediakan bagi projek rel, jalan raya, jambatan dan sistem saliran mesra alam perlu dilaksanakan segera bagi memastikan Malaysia terus berdaya saing dan maju dalam suasana ekonomi global yang mencabar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial