AM > BERITA

Belanjawan 2026 Berteraskan Rakyat, Tonjol Langkah Reformasi - Ahli Parlimen

10/10/2025 10:22 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini disifatkan sebagai belanjawan yang berfokus kepada rakyat selain menampilkan elemen reformasi penting dalam tadbir urus negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata pelbagai inisiatif yang diumumkan jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap rakyat, termasuk melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata belanjawan berkenaan juga amat inklusif termasuk untuk komuniti India dan Cina menerusi pengumuman pembinaan semula Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jeram serta peruntukan RM90 juta bagi penambahbaikan Kampung Baru Cina dan Kampung India.

“Ini membuktikan belanjawan kali ini sememangnya ditumpukan kepada rakyat. Ia belanjawan rakyat, satu belanjawan yang sangat baik memang semua aspek disentuh dari segi kaum, bangsa dan latar masyarakat. Semua dapat menikmati manfaat daripada Belanjawan 2026 itu,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri membentangkan Belanjawan 2026 bertemakan ‘Belanjawan Rakyat’ yang akan mengumpul dan mengoptimumkan sumber negara termasuk dana syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion.

Anwar berkata ia meliputi RM338.2 bilion perbelanjaan mengurus (OE) Persekutuan dan RM81 bilion perbelanjaan pembangunan (DE) Persekutuan, serta RM30 bilion pelaburan GLIC, pelaburan awam-swasta (RM10 bilion) dan pelaburan badan berkanun Persekutuan dan syarikat MKD (RM10.8 bilion).

Teresa Kok (PH-Seputeh) berkata pelbagai pengumuman berkenaan tatakelola dalam Belanjawan 2026 membuktikan kerajaan serius dalam melaksanakan reformasi institusi termasuk cadangan    memperkenalkan undang-undang baharu.

Beliau berkata belanjawan itu juga memberi penekanan terhadap usaha meningkatkan kutipan cukai dan memperkukuh badan penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Selain itu, buat kali pertama Parlimen diberi peruntukan RM220 juta, khususnya RM5 juta bagi memperkasakan jawatankuasa pilihan khas. Kita juga akan melihat undang-undang baharu untuk mengasingkan peranan peguam negara dan pendakwa raya, sesuatu yang telah lama didesak banyak pihak.

“Keseluruhannya, Belanjawan 2026 bukan sahaja melindungi rakyat, malah menuju ke arah pembaharuan, membetulkan kelemahan sedia ada, serta membina asas ekonomi yang lebih kukuh untuk masa depan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata cadangan pelaksanaan cukai karbon dalam Belanjawan 2026 adalah wajar bagi memastikan industri bertanggungjawab terhadap pelepasan karbon.

Beliau berkata cukai itu sejajar amalan global, namun kerajaan perlu menilai kadar serta kesannya terhadap pelabur dan sektor tenaga.

“Kita harus lihat kesan secara langsung kepada industri terlibat dan berapa peratus cukai dikenakan,” katanya sambil menambah tumpuan juga perlu diperluas kepada sektor lain termasuk kilang sawit dan agensi kerajaan yang turut menyumbang kepada pelepasan karbon.

Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berkata pelaksanaan pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi pelajar B40 yang menamatkan pengajian peringkat ijazah pertama adalah langkah yang positif, namun wajar diperincikan kaedah pelaksanaannya. 

Beliau berkata penjelasan lanjut diperlukan bagi memastikan pelaksanaannya tidak menimbulkan kekeliruan, termasuk dari segi mekanisme dan syarat kelayakan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan