KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Peningkatan peruntukan bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada RM7.9 bilion dalam Belanjawan 2026 merupakan manifestasi keazaman negara untuk melahirkan pekerja berkemahiran, berpendapatan tinggi dan inovatif.
Ahli Majlis TVET Negara (MTVET) Howard Lee berkata tumpuan kepada sektor kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV), semikonduktor, peralihan tenaga (NETR) dan perkilangan berteknologi tinggi bukan sahaja memperkukuh daya saing negara, tetapi turut menentukan arah pembangunan TVET yang berorientasikan industri.
“Penyelarasan ini memperlihatkan keserasian antara dasar industri dan dasar pendidikan, satu langkah berani untuk menjadikan Malaysia hab kemahiran serantau, mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing dan meningkatkan daya tarikan pelaburan berkualiti tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga mencadangkan agar syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa turut menjadi rakan strategik utama dalam memperkasakan industri TVET negara.
"Antara langkah konkrit yang wajar diperkasakan adalah reka bentuk kurikulum bersama industri agar latihan sejajar dengan keperluan sebenar pasaran, penyediaan latihan industri dan program perantis secara berskala besar serta perkongsian kemudahan latihan dan teknologi antara institusi TVET dan sektor swasta.
"Selain itu, ekosistem TVET turut perlu dibina dengan menggabungkan kemahiran hijau dan digital (Green & Digital Skills); teknologi AI, robotik, kuantum dan semikonduktor ke dalam kurikulum TVET serta menjana pensijilan bertaraf antarabangsa agar tenaga kerja Malaysia mampu bersaing di pasaran global," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM7.9 bilion untuk TVET dalam Belanjawan 2026 iaitu peningkatan berbanding tahun ini RM7.5 bilion, antara lain bertujuan melatih lebih ramai bakat tempatan untuk memenuhi keperluan industri berpertumbuhan tinggi serta menyokong sektor berkeutamaan tinggi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju (YP) Ibrahim Sani berkata pihaknya menyambut baik pengumuman Belanjawan 2026 yang memperuntukkan RM6 bilion kepada YP, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Universiti Teknologi MARA bagi memperkukuh peluang pendidikan Bumiputera sekali gus membolehkan 12,000 bakat dilatih dan diperkasakan tahun hadapan.
“Matlamat kami adalah untuk melahirkan 2,000 Akauntan Bertauliah dan 10,000 pakar teknologi dalam tahun yang sama, termasuk dalam bidang kritikal seperti keselamatan siber, AI dan perancangan sumber perusahaan (ERP).
“Dengan peningkatan jumlah bakat teknologi Bumiputera berkemahiran tinggi, Malaysia berpotensi menarik lebih banyak syarikat antarabangsa dan pelabur untuk membangunkan operasi mereka di negara ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial