Oleh Erma Idayu Mohd Yusop
KEPALA BATAS, 11 Okt (Bernama) -- Pulau Pinang bakal menjadi perintis bagi projek rumah warga emas mandiri yang membabitkan pembinaan 290 unit rumah di kawasan seluas 4.05 hektar di Pongsu Seribu di sini, dengan kos RM35 juta.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata projek itu dibangunkan secara strategik oleh MAINPP bersama Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) melalui anak syarikatnya KWAP Estate Management (KWEST).
Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata pihaknya menyambut baik pembentangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026 semalam berhubung komitmen pembangunan rumah warga emas mandiri di Pulau Pinang yang akan dijadikan model perintis.
"Projek itu akan dilaksanakan di atas tanah Baitulmal MAINPP. MAINPP akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan KWAP dalam tempoh terdekat," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata pembangunan tanah itu juga selari dengan pengumuman Perdana Menteri pada Jun 2024 untuk negara ini memberi penekanan kepada ekonomi perak bagi menghadapi negara tua dan sejajar dengan Pelan Hala Tuju Penuaan Aktif Pulau Pinang yang dilancarkan pada 2022.
Pulau Pinang ialah negeri kedua tertinggi didiami warga emas dan berdasarkan unjuran ia dijangka terus meningkat, maka negeri ini perlu bergerak seiring dengan situasi itu supaya dapat menyediakan fasiliti yang diperlukan.
Projek berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan, yang antara lain menawarkan kehidupan mandiri mampu milik, kesejahteraan dan gaya hidup sihat yang menggabungkan program kesihatan serta kemudahan rekreasi.
Mohamad berkata selain menyediakan khidmat penjagaan warga emas, pembangunan itu juga dijangka membuka peluang pekerjaan dan memberi pulangan hasil kepada MAINPP pada masa hadapan.
Mengikut perancangan, perkhidmatan yang akan ditawarkan, antaranya perkhidmatan penjagaan kediaman, perkhidmatan katering makanan, perkhidmatan cucian pakaian (dobi), perhidmatan kesihatan dan pengurusan kecemasan serta penyelenggaraan dan pengurusan fasiliti.
"Turut akan ditawarkan perkhidmatan pengajian rohani dan keagamaan, program pembelajaran, aktiviti sosial dan komuniti, kemudahan rekreasi yang menyokong gaya hidup sihat dan aktif, reka bentuk sejagat yang menitikberatkan keselamatan dan kebolehcapaian serta perkhidmatan perancangan dan pengurusan kewangan (pilihan)," katanya.
Pembentangan Belanjawan 2026 semalam menyaksikan peruntukan kebajikan warga emas ditingkatkan kepada RM1.26 bilion melibatkan 180,000 golongan ini, sebagai persediaan menuju negara tua.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial