SHAH ALAM, 11 Okt (Bernama) -- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) terus memperkukuh agenda sekuriti makanan negara menerusi penganjuran program Rasa-Rasa Akuakultur Mega 2025 sebagai platform utama memperkenalkan produk hasil akuakultur tempatan.
Ketua Pengarah DOF Datuk Adnan Hussain berkata industri akuakultur kini menjadi antara tunjang penting bekalan makanan negara selaras Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0), yang menyasarkan sumbangan berjumlah 40 peratus daripada keperluan perikanan negara menjelang 2030.
“Sepanjang tahun ini, Rasa-Rasa Akuakultur Mega dilaksanakan di dua lokasi masing-masing di Selangor, Pulau Pinang dan Terengganu, manakala satu di Kuala Lumpur, Johor, Pahang, Sarawak dan Kelantan.
“Pelaksanaan meluas ini memperlihatkan komitmen Jabatan Perikanan memperkukuh rangkaian promosi hasil akuakultur tempatan merentasi pelbagai segmen pengguna di bandar dan luar bandar,” katanya di AEON Mall Shah Alam di sini hari ini.
Adnan berkata Selangor dipilih sebagai lokasi utama penganjuran ekoran negeri itu berpotensi menjadi hab pengeluaran serta pemasaran hasil akuakultur negara berdasarkan rekod cemerlang menerusi program sama sebelum ini.
Beliau berkata Selangor merekodkan pengeluaran hasil akuakultur berjumlah 21,723 tan metrik bersamaan 4.2 peratus daripada pengeluaran nasional dengan spesies utama seperti ikan keli, tilapia, baung dan udang galah sepanjang tahun lepas.
“Sepanjang tahun ini juga difahamkan Pejabat Perikanan Selangor melaksanakan tiga siri Rasa-Rasa Akuakultur tidak termasuk acara kemuncak pada hari ini dengan penyertaan 11 usahawan akuakultur dan produk perikanan.
“Rasa-Rasa Akuakultur Mega 2025 edisi Selangor yang berlangsung sehingga esok ini menawarkan komoditi udang harimau tempatan, ikan kaloi (gourami), tilapia, keli dan rumpai laut (latok) dengan menyasarkan 15,000 pengunjung,” katanya.
Adnan berkata pihaknya komited merangka pelbagai pendekatan baharu bagi meningkatkan hasil akuakultur sedia ada khususnya membabitkan generasi muda, sekali gus menyumbang kepada kadar pengeluaran ikan negara.
Beliau berkata sektor akuakultur menghasilkan 511,000 tan metrik secara keseluruhan pada tahun lepas berbanding 1.9 juta tan metrik keseluruhan pengeluaran ikan negara dan memberikan sumbangan signifikan kepada ekonomi negara.
“Jabatan Perikanan komited membimbing pengusaha melalui pemindahan teknologi, latihan dan amalan akuakultur moden bagi meningkatkan kecekapan serta daya tahan terhadap iklim.
“Kekuatan sebenar industri ini bukan hanya pada jumlah pengeluaran tetapi semangat inovasi dan kebersamaan antara kerajaan, usahawan dan masyarakat. Dengan ilmu dan teknologi, kita mampu menjadikan cabaran sebagai peluang,” katanya.
Terdahulu, Adnan diiringi Pengarah Jabatan Perikanan Selangor Noraisyah Abu Bakar merasmikan Rasa-Rasa Akuakultur Mega 2025 sebelum meluncurkan produk dan menyampaikan bantuan kepada usahawan akuakultur.
Rasa-Rasa Akuakultur Mega 2025 adalah kesinambungan siri promosi dan jelajah perikanan sejak tahun 2022 dengan fokus memperluaskan pasaran hasil akuakultur tempatan menyaingi kemasukan produk luar negara serta memperkukuh daya saing industri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial