AM > BERITA

Penternak Akuakultur Dinasihat Waspada Amaran Banjir - Pengarah DOF

11/10/2025 09:49 PM

SHAH ALAM, 11 Okt (Bernama) -- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menasihati penternak akuakultur di seluruh negara untuk sentiasa peka dengan laporan cuaca terkini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebagai langkah waspada menghadapi musim banjir.  

Ketua Pengarahnya Datuk Adnan Hussain berkata semua pihak kini perlu bersiap siaga untuk berdepan sebarang kemungkinan terutamanya pemain industri di Pantai Timur.  

"Saya menasihati penternak akuakultur lebih-lebih lagi mereka yang menjalankan aktiviti ternakan ikan dalam sangkar di sungai atau kolam yang terdedah dengan risiko banjir supaya merancang aktiviti ternakan mereka dengan cara memantau keadaan cuaca.

"Hal ini penting untuk mengelak atau mengurangkan kerugian terhadap hasil ternakan mereka. Ikan-ikan yang telah mencapai saiz pasaran elok dijual segera dan tidak perlu disimpan kerana dikhuatiri hanyut bersama-sama sangkar yang pecah atau terlepas dari ikatan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Rasa-Rasa Akuakultur Mega 2025 di sini hari ini. 

Adnan turut menyarankan supaya penternak akuakultur menangguhkan proses menambah stok ikan baharu sepanjang musim tengkujuh yang biasanya berlaku antara November sehingga Mac dan berbuat demikian selepas cuaca stabil.

Terdahulu, Adnan diiringi Pengarah Jabatan Perikanan Selangor Noraisyah Abu Bakar merasmikan Rasa-Rasa Akuakultur Mega 2025 edisi Selangor iaitu acara kesinambungan siri promosi dan jelajah perikanan sejak 2022.

Program yang berlangsung selama dua hari itu bertujuan memperluas pasaran hasil akuakultur tempatan bagi menyaingi kemasukan produk luar negara serta memperkukuh daya saing industri.

Sementara itu, Adnan turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung subsidi dan insentif nelayan berjumlah RM178 juta termasuk subsidi bahan api kepada nelayan di seluruh negara menerusi pembentangan Belanjawan 2026 semalam.

Beliau berkata pengumuman peruntukan sebanyak RM20 juta kepada nelayan yang berada di Zon B untuk menaik taraf vesel bagi membolehkan mereka berpindah ke zon lebih besar atau menukar peralatan sedia ada kepada alat mesra sumber juga dilihat mampu memberikan kesan positif kepada golongan terbabit. 

"Dengan insentif hasil tangkapan berjumlah RM160 juta, ia berasas kepada pengeluaran subsidi. Nelayan akan mendaratkan hasil tangkapan dan kerajaan akan memberikan insentif dalam bentuk wang bertujuan meningkatkan lagi aktiviti tangkapan ikan," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan