KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Pasukan Hunt Two Hunters muncul juara kategori Bernama manakala 2R2L Hunters menjuarai kategori terbuka dalam pertandingan ASEAN Amazing Hunt 2025 anjuran Kelab Kakitangan Bernama (KKB) yang diadakan di ibu negara hari ini.
Program pencarian harta karun itu mengetengahkan cabaran interaktif yang menguji pengetahuan peserta mengenai ASEAN sejajar dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata program itu turut memberi peluang kepada peserta yang terdiri daripada pengamal media dan orang awam untuk mendalami pengetahuan tentang ASEAN melalui pendekatan santai dan menyeronokkan.
“Sebanyak 400 orang yang mewakili 63 pasukan telah diberi cabaran untuk mendapatkan jawapan-jawapan dalam pertandingan ASEAN Amazing Hunt ini untuk menguji pengetahuan mereka selain daripada tentang Malaysia tetapi juga hal-hal yang berkaitan dengan negara-negara ASEAN.
“Jadi, saya melihat ini peluang Bernama menyediakan platform untuk mereka selain bersilaturahim antara pasukan daripada Bernama juga dengan pasukan-pasukan luar,” katanya ketika ditemui pada majlis penutupan dan penyampaian hadiah program itu hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj yang juga Presiden KKB, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Ekonomi) Azlina Aziz, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak, dan Ketua Jabatan Khidmat Pengurusan dan Kewangan Sharifah Zaini Syed Zain.
Nur-ul Afida berkata peserta turut berpeluang mengunjungi tujuh lokasi ikonik sekitar ibu kota yang sering menjadi tumpuan pelancong sebagai sebahagian daripada tugasan pertandingan.
“Ia sesuatu yang sangat baik dan harus diadakan lagi pada tahun depan. Apabila kita melihat jawapan-jawapan, nampak keterujaan peserta, ada yang berjaya menjawab, ada yang tidak , tetapi yang penting ialah matlamat KKB untuk mengumpulkan sebanyak mungkin peserta bagi mengenali dengan lebih dekat apa yang ada di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.
Pasukan Hunt Two Hunters yang terdiri daripada Sheikh Faizel Akbar Sheikh Mustafar, Abdul Halim Hafiz Mohamad Radzali dan Kamarulzaman Yusof membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 selaku juara kategori Bernama.
Kumpulan Hora Horey meraih tempat kedua dengan hadiah RM1,500, manakala Boleh Saja menerima RM1,000 di tempat ketiga.
Dalam kategori terbuka, pasukan 2R2L Hunters yang dianggotai Ahmad Rijaluddin Ibrahim, Rafidah Satari, Liew Thien Seong Marco dan Liang Kin Wah membawa pulang hadiah utama RM4,000.
Pasukan Lipan Bara meraih tempat kedua dengan hadiah RM2,000 manakala Curry Hunters di tempat ketiga menerima RM1,200. Tempat keempat dan kelima masing-masing menerima RM500 dan RM300.
Lebih 50 hadiah cabutan bertuah turut dimenangi peserta, termasuk televisyen, pelbagai barangan elektrik dan pakej percutian.
Program ASEAN Amazing Hunt 2025 mendapat tajaan bersama daripada Takaful Malaysia, Wangsa Walk Mall, MyTeksi Sdn Bhd (Grab), 99 Speedmart, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Pusat Pakaian Hari-Hari, AEON, Gardenia, Herbalife dan MSM Malaysia Holdings Bhd.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial