AM > BERITA

Pengesanan Awal Penting Untuk Rawat Sakit Bahagian Bawah Tulang Belakang - Dr Lau

13/10/2025 11:51 AM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Sakit pada bahagian bawah tulang belakang yang berterusan boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang kerana ia mengganggu aktiviti harian sekali gus menekankan kepentingan mengenal pasti tanda-tanda awal, atau red flag, yang mungkin membawa kepada masalah lebih serius.

Menurut Pakar Perunding Pembedahan Robotik dan Tulang Belakang Dr Lau Choon Ping dari Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway, kira-kira 80 hingga 90 peratus kes sakit pada bahagian bawah tulang belakang di Malaysia bukanlah disebabkan oleh masalah tulang atau cakera sebaliknya berpunca daripada otot yang lemah atau duduk terlalu lama.

Beliau berkata kes ini semakin kerap berlaku disebabkan gaya hidup tidak aktif terutama dalam kalangan pekerja di pejabat dan pelajar yang duduk dalam postur tidak betul untuk tempoh yang panjang.

“Ramai yang mengalami kesakitan tetapi imbasan CT atau pengimejan resonans magnetik (MRI) mereka tidak menunjukkan sebarang keabnormalan.

"Masalahnya bukan pada tulang belakang itu sendiri sebaliknya otot yang terlalu lemah untuk menyokong tubuh dengan baik,” katanya kepada Bernama.

Dr Lau berkata sakit belakang, yang menjejaskan bahagian bawah, boleh diklasifikasikan kepada mekanikal atau bukan mekanikal serta tempohnya iaitu akut (kurang enam minggu), subakut (enam hingga 12 minggu) dan kronik (lebih 12 minggu).

Kesakitan mekanikal adalah berpunca daripada masalah struktur pada tulang belakang atau tulang seperti patah, kanser, ketidakstabilan tulang belakang atau cakera tergelincir sehingga menekan saraf, yang biasanya dapat dikesan melalui imbasan.

Kesakitan bukan mekanikal pula berlaku apabila struktur tulang belakang adalah normal tetapi kesakitan berlaku akibat masalah fungsi seperti otot lemah, postur yang tidak betul atau duduk terlalu lama.

“Pesakit perlu memainkan peranan aktif dalam rawatan mereka dan tidak hanya bergantung kepada penyelesaian segera seperti urutan dan ubat tahan sakit, yang tidak menangani punca sebenar masalah,” katanya.

Dr Lau juga mengesyorkan supaya pesakit mengelak daripada membongkok secara berlebihan dan mengangkat benda berat serta melakukan senaman menguatkan tulang belakang secara berkala.

Beliau berkata pencegahan awal boleh membantu mengawal simptom dan berpotensi mengelakkan keperluan bagi pembedahan.

“Dengan pengesanan awal, banyak keadaan boleh dikawal dengan berkesan sebelum menjadi lebih serius. Ketidakstabilan ringan juga boleh dirawat tanpa perlu melakukan pembedahan,” katanya.

Menyentuh mengenai kemajuan rawatan, Dr Lau berkata pembedahan tulang belakang moden kini menjadi lebih selamat dan kurang invasif dengan penggunaan teknologi seperti sistem robotik, navigasi komputer, pemantauan neurologi dan teknik endoskopik.

The AiBLE™ Spine Surgical Suite, yang pertama seumpamanya di Malaysia dan Asia Tenggara, adalah sistem terkini pembedahan tulang belakang secara robotik.

Ia menggabungkan sistem pengimejan canggih, panduan navigasi, lengan robotik dan Kecerdasan Buatan.

Dr Lau berkata sistem ini membolehkan ketepatan lebih tinggi dan pada masa sama, meningkatkan kawalan intraoperatif pakar bedah sekali gus mewujudkan proses yang lebih efisien untuk pakar bedah serta pesakit.

“Dengan pembedahan lubang kunci dan pemantauan saraf secara masa nyata, kami boleh mengurangkan risiko dan mempercepat proses pemulihan.

"Malah cakera tergelincir boleh dikeluarkan melalui hirisan kecil menggunakan kamera,” katanya.

Sempena Hari Tulang Belakang Sedunia, Dr Lau menggesa mereka yang mengalami sakit pada bahagian bawah tulang belakang terutama pelajar dan golongan bekerja, supaya mendapatkan rawatan dengan berjumpa doktor.

Diagnosis awal merupakan langkah pertama yang penting dalam perjalanan rawatan yang membawa kepada hasil jangka panjang yang positif dan tahap kepuasan pesakit yang lebih tinggi.

“Perhatian perubatan yang segera akan membantu mencegah ketidakupayaan jangka panjang dan melindungi kualiti hidup seseorang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan