AM > BERITA

Kadar Residivis Penjara Sarawak Terendah Di Malaysia - Saifuddin Nasution

13/10/2025 07:06 PM

KUCHING, 13 Okt (Bernama) -- Penjara Sarawak mencatatkan kadar residivis atau kemasukan banduan berulang terendah di Malaysia iaitu sebanyak 12.7 peratus, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata berdasarkan statistik 2023, kadar residivisme terendah itu membuktikan keberkesanan program pemulihan yang dilaksanakan.

“Selain itu, kadar kesesakan penjara juga hanya mencatatkan 13.2 peratus adalah jauh lebih baik berbanding kadar standard antrabangsa iaitu 20 peratus.

“Ini berdasarkan pencapaian empat indikator petunjuk prestasi utama (KPI) iaitu kadar kesesakan, kadar reman, kadar residivis dan pemenjaraan yang menepati piawaian antrabangsa,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Kompleks Songket Sri Kenyalang Penjara Puncak Borneo, di sini hari ini.

Turut hadir Komisioner Jeneral Penjara Malaysia Datuk Abdul Aziz Abdul Razak.

Beliau berkata selain itu kadar residivis dalam kalangan peserta program pemulihan komuniti di penjara itu juga hanya mencatatkan 0.24 peratus, iaitu jauh lebih rendah berbanding kadar umum 18.6 peratus.

Saifuddin Nasution berkata kerjasama erat antara Jabatan Penjara Sarawak, Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta badan bukan kerajaan (NGO) turut memperkukuh pendekatan pemulihan yang inklusif khususnya bagi menangani isu dadah dan penyesuaian dalam komuniti.

Justeru, beliau berkata inisiatif di bawah program pemulihan komuniti perlu terus didukung dan disokong semua pihak kerana kadar pengulangan kesalahan dalam kalangan bekas banduan dilihat semakin rendah.

“Kejayaan program itu membuktikan pendekatan baharu dalam sistem pemulihan dan pengurusan penjara moden kini semakin berkesan, khususnya apabila ia menekankan latihan kemahiran dan pembangunan diri kepada individu yang sedang menjalani hukuman.

“Kalau kadar pengulangan kesalahan itu rendah, maka program seperti ini harus terus disokong. Malah, semasa mereka berada di dalam penjara, latihan dan kemahiran yang diberikan memainkan peranan penting dalam membantu proses pemulihan,” katanya.

Beliau berkata konsep penjara moden bukan hanya berfungsi sebagai tempat hukuman, tetapi juga pusat pemulihan yang mempersiapkan individu untuk kembali kepada masyarakat dengan lebih baik.

Mengenai penubuhan kompleks songket, Saifuddin Nasution berkata ia merupakan platform membina masa depan lebih baik melalui pemuliharaan warisan, inovasi rekaan  serta pemerkasaan insan dan bukan sekadar proses pembetulan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan