KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perbuatan mengibar bendera Israel atau menampal pelekat bertulisan Hebrew, yang menyinggung sensitiviti rakyat dan bercanggah dengan dasar negara, tidak boleh diterima sama sekali.
Menganggap ia seperti satu pengkhianatan, Anwar bersetuju bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu terbabit bagi memastikan ia menjadi pengajaran kepada semua pihak.
“Ini menyinggung perasaan khalayak dan bertentangan dengan dasar negara keseluruhannya. Ini dasar negara yang merentas parti termasuk soal bendera, walau apa pun matlamatnya, ia tetap salah.
“Mana ada negara di dunia yang ketika dijajah, rakyatnya mengibar Union Jack, bendera penjajah, dan ia akan dianggap sebagai pengkhianatan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung pendirian kerajaan terhadap acara yang mengibarkan bendera Israel di negara ini.
Sebelum ini, polis telah membuka kertas siasatan berhubung isu pengibaran bendera Israel ketika “Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza” mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.
Polis juga menjalankan siasatan terperinci terhadap kenderaan pacuan empat roda yang didakwa menampal pelekat bertulisan Hebrew membawa maksud "Malaysia adalah Rumah Kita" atau "Malaysia di Tangan Kami".
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial