AM > BERITA

Kes Murray Hunter Bukti Kebebasan Bersuara Perlu Dilakukan Secara Bertanggungjawab - MCMC

16/10/2025 07:49 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Murray Victor Hunter (MH) bertanggungjawab bagi fitnah dalam saman yang difailkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuktikan kebebasan bersuara hendaklah dilakukan secara bertanggungawab serta mengikut lunas undang-undang.

Kenyataan MCMC hari ini memaklumkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam menjadi peringatan penting bahawa hak untuk menyuarakan pendapat tidak merangkumi perbuatan mengeluarkan kenyataan palsu, berniat jahat atau berunsur fitnah yang boleh mencemarkan reputasi mana-mana pihak.

“Oleh itu, MCMC telah mengambil tindakan undang-undang ini bagi melindungi reputasi institusi selain menegakkan prinsip akauntabiliti, integriti dan komunikasi yang bertanggungjawab dalam ekosistem digital,” menurut kenyataan itu.

Menurut MCMC, MH telah menerbitkan beberapa artikel antara April hingga November 2024 yang mengandungi kenyataan palsu dan berunsur fitnah terhadap suruhanjaya itu, melibatkan dakwaan serius serta tidak berasas yang mengelirukan orang ramai serta merosakkan reputasinya.

MCMC juga memaklumkan bahawa sebelum ini, laporan polis telah dibuat di Malaysia serta Thailand pada April dan Jun 2024 berkaitan penerbitan artikel terbabit oleh Hunter.

Menurut kenyataan itu Hunter adalah seorang penulis blog dan warganegara Australia yang beroperasi dari Thailand manakala kandungan penerbitannya boleh diakses di Malaysia.

MCMC turut memaklumkan bahawa satu lagi saman telah difailkan di Malaysia dan dokumen tuntutan sudah diserahkan kepada Hunter di Thailand.

Susulan itu, beliau telah ditahan di Bangkok bulan lepas apabila gagal mematuhi saman yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Thailand untuk membantu siasatan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan