AM > BERITA

Penduduk Rantau Panjang Siap Siaga Hadapi MTL, Sedia Rakit Lindungi Harta Benda

17/10/2025 10:01 AM

Oleh Adnan Mohamad

PASIR MAS, 17 Okt (Bernama) -- Penduduk di sepanjang Sungai Golok di Rantau Panjang di sini, mula mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan banjir besar yang sering melanda saban tahun ketika amaran Monsun Timur Laut (MTL) semakin hampir.

Bagi komuniti di Kampung Lubuk Gong, persiapan itu bukan sekadar menyimpan barang di tempat tinggi tetapi turut membabitkan pembinaan rakit sebagai usaha melindungi barangan berharga termasuk peralatan elektrik dan motosikal  daripada musnah dibawa arus deras.

Tinjauan Bernama di kampung berkenaan mendapati beberapa penduduk sudah menyiapkan rakit masing-masing menggunakan tong drum plastik dan papan lapis sebagai pelampung, manakala sebahagian lagi masih bergotong-royong membina rakit baharu hasil sumbangan badan bukan kerajaan (NGO).

Penghulu Mukim Lubuk Gong Suriani Daud berkata penduduk kini berada dalam fasa kesiapsiagaan penuh memandangkan hujan semakin kerap sejak minggu lepas, menandakan musim tengkujuh bakal bermula tidak lama lagi.

“Hujan berterusan boleh menyebabkan paras air Sungai Golok meningkat dengan cepat dan menimbulkan kebimbangan penduduk di kawasan rendah.

“Kami bersyukur kerana ada NGO yang tampil menyumbangkan rakit untuk digunakan penduduk, walaupun jumlahnya masih belum mencukupi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Suriani berkata setakat ini sebanyak 26 unit rakit bersaiz 4x4 meter telah disiapkan untuk dikongsi dua keluarga bagi setiap satu, yang boleh digunakan sebagai tempat menyelamatkan harta benda atau berteduh sementara ketika air naik.

Beliau bagaimanapun berkata permohonan untuk mendapatkan rakit masih tinggi berikutan kekangan kewangan yang menghalang usaha memperluas bantuan kepada semua keluarga terjejas.

Sementara itu, penduduk kampung Wan Azlina Wan Yusof berkata sumbangan rakit amat bermakna kerana ia membantu penduduk menyelamatkan barangan berharga sekiranya dilanda banjir.

“Tahun lepas, air naik sampai paras dada. Banyak barangan elektrik dan motosikal tidak dapat diselamatkan. Bila ada rakit, sekurang-kurangnya kami boleh letakkan barang penting di atasnya sementara menunggu pusat pemindahan dibuka,” katanya.

Wan Azlina berkata keselamatan ahli keluarga, terutama kanak-kanak tetap menjadi keutamaan setiap kali dilanda banjir dan penduduk biasanya berpindah ke rumah jiran, masjid atau kawasan lebih tinggi sebelum menerima arahan rasmi untuk ke pusat pemindahan sementara.

Ramli Husin, 52, pula berkata setiap kali tiba musim tengkujuh, mereka perlu berdepan cabaran besar terutama memastikan keselamatan anak-anak serta warga emas yang sukar dipindahkan dengan cepat sekiranya paras air naik mendadak.

“Kalau air naik waktu malam, memang kelam-kabut. Kami terpaksa bangun mengangkat barang, alih kenderaan dan pastikan semua ahli keluarga dalam keadaan selamat.

“Sebab itu rakit ini sangat penting, sekurang-kurangnya kami ada ruang sementara untuk berpaut atau letak barang penting sebelum bot penyelamat datang,” katanya yang sudah lebih 20 tahun menetap di kawasan berhampiran Sungai Golok.

Beliau berkata walaupun banjir sudah menjadi rutin tahunan bagi penduduk setempat, perasaan cemas tetap ada setiap kali menghadapi musim tengkujuh kerana tahap kedalaman air dan kelajuan arus sukar dijangka serta boleh berubah dalam masa singkat.

Difahamkan, pada kejadian banjir besar tahun lepas, lebih 500 rumah di sekitar Kampung Tersang, Lanchang, Tasek dan Lubuk Gong dinaiki air sehingga menyebabkan kerugian besar kepada penduduk.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan