KLANG, 19 Okt (Bernama) -- Kemeriahan sambutan Deepavali tahun ini kian terasa apabila Little India di Jalan Tengku Kelana di sini kelihatan sibuk dengan masyarakat India yang melakukan persiapan terakhir dengan membeli kelengkapan perayaan masing-masing.
Tinjauan Bernama hari ini mendapati selain premis baju dan kelengkapan sembahyang dipenuhi pengunjung, pengusaha seni henna atau inai turut tidak menang tangan melukis pelbagai corak pada tangan pelanggan masing-masing.
Seorang pengusaha henna, Isaac Raj, 25, berkata biasanya pelanggan akan dikenakan bayaran antara RM10 hingga RM50 bergantung kepada corak, motif serta warna yang dipilih oleh pelanggan sendiri.
Menurut Isaac, perkhidmatan seni henna dilhat semakin berkembang saban tahun dengan kemunculan pelbagai jenama henna baharu yang berkualiti sekali gus membolehkan pengusaha sepertinya meluaskan perniagaan berdasarkan permintaan pelanggan yang pelbagai.
"Sama macam makanan, pelanggan mempunyai selera yang pelbagai. Oleh itu, saya menyediakan pelbagai pilihan henna daripada harga serendah RM10 hingga RM50 kepada pelanggan.
"Sebenarnya ada yang lebih mahal hingga mencecah ratusan ringgit, namun kemahiran yang ada pada tukang henna juga mampu menghasilkan corak seolah-olah menggunakan henna mahal," katanya kepada Bernama.
Isaac yang berpengalaman hampir 10 tahun dalam menghidupkan simbol kecantikan dan kemeriahan sambutan pada pelanggannya berkata antara motif yang sering menjadi pilihan ialah bunga, daun, burung merak dan geometrik.
Sementara itu, seorang pelanggan dari Puchong, P. Lallytha, 50, berkata henna biasanya digayakan golongan wanita sebagai penambah seri bagi menonjolkan keanggunan bagi dipadankan dengan pemakaian sari ketika menerima atau menziarahi tetamu sepanjang sambutan Deepavali.
"Setiap kali Deepavali saya sendiri akan membawa ahli keluarga ke sini untuk memakai henna. Zaman sekarang mudah untuk pakai henna kerana sudah ada dalam bentuk tiub, jadi proses memakainya boleh siap dalam tempoh kurang 15 minit berbanding kaedah lama yang memerlukan kita menumbuk daun inai.
"Kanak-kanak juga ramai yang pakai henna, sekejap saja sudah boleh bilas dan mendapatkan hasil seni tangan menarik bergantung kepada corak dan motif pilihan pelanggan melalui katalog yang disediakan," katanya.
Seorang lagi pelanggan, R. Gayathiry, 21, berkata dia dan ahli keluarganya akan menjadikan pemakaian henna sebagai persiapan yang paling akhir bagi memanjangkan tempoh corak henna berada di tangan mereka.
Gayathiry berkata dia akan membuat persiapan lain terlebih dahulu seperti membeli pakaian, perhiasan rumah serta bahan mentah untuk masakan dan manisan sebelum berkunjung ke Little India, di sini untuk memakai henna atau dikenali sebagai mehndi.
"Saya akan siapkan kerja-kerja lain terlebih dahulu kerana sehari sebelum Deepavali paling sesuai untuk memakai henna. Lebih lewat kita pakai, lebih lama ia akan bertahan di tangan kita.
"Dengan harga dan corak yang ada, saya rasa ia berbaloi untuk digayakan terutamanya kanak-kanak, sangat comel dan cantik jika mereka mengenakan henna," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial