JASIN, 17 Okt (Bernama) -- Promosi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada peringkat sekolah mampu membantu meningkatkan jati diri dan sahsiah pelajar terutama murid sekolah rendah, ke arah melahirkan generasi muda yang berdisiplin dan berdaya kepimpinan.
Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan Jabatan Latihan Khidmat Negara Lt Kol Dr Abdul Rahim Abd Rahman berkata promosi yang dijalankan di beberapa sekolah dan institusi pendidikan setakat ini mendapat maklum balas positif daripada para pelajar.
“Sepanjang sesi promosi hari ini, pelajar-pelajar terutama dari tingkatan satu hingga tingkatan tiga menunjukkan kefahaman yang baik mengenai matlamat PLKN.
"Antara pengisiannya, mereka didedahkan kepada konsep pra PLKN, iaitu Kem Kepimpinan Generasi MADANI yang memberi pendedahan awal tentang nilai kepimpinan dan jati diri,” katanya kepada Bernama selepas program Promosi PLKN 3.0 sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka di Politeknik Merlimau di sini hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan program itu penting dalam usaha memberi penekanan kepada pembentukan jati diri dan kepimpinan ‘organik' dalam kalangan pelajar yang bermula daripada peringkat awal lagi supaya mereka mengenal potensi diri sebelum memimpin orang lain.
“Anak muda kita perlu tahu siapa diri mereka terlebih dahulu. Dari situ, nilai bangsa dan agama akan terbentuk secara semula jadi.
"Program seperti PLKN inilah yang dapat membina asas itu, supaya mereka menjadi individu yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berakhlak dan berjati diri terutama saat negara sedang diuji dengan pelbagai insiden melibatkan murid sekolah," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata PLKN yang dijenamakan semula hasil kajian pelbagai institusi termasuk universiti tempatan, badan penyelidikan serta 31 kementerian dan agensi kerajaan itu akan dilaksanakan dalam pelbagai bentuk, termasuk versi politeknik yang menekankan pendekatan akademik berteraskan kredit atau audit.
“Pelaksanaan PLKN 3.0 ini pula lebih moden dan berteraskan teknologi digital dalam pembelajaran. Bagi versi kem latihan rintis pula, tempohnya hanya 45 hari,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial