AM > BERITA

Tiga Agensi Agama Salur RM184,700 Bantu Mangsa Ribut Telok Panglima Garang

17/10/2025 08:54 PM

KUALA LANGAT, 17 Okt (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIEM) dan Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan sumbangan berjumlah RM184,700 kepada mangsa ribut di sekitar Telok Panglima Garang di sini, Rabu lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata bantuan kewangan itu akan memberikan manfaat kepada 65 keluarga dan pihak Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan yang musnah teruk termasuk 13 pelajarnya yang tercedera.

"Mengikut pecahan, JAKIM menyumbang RM86,400 diikuti Yayasan Taqwa dan YAPIEM masing-masing RM65,000 dan RM33,300, yang diserahkan terus kepada pihak sekolah dan penduduk yang terkesan. 

"Sesungguhnya ini adalah sebahagian daripada ujian daripada Allah untuk meningkatkan keimanan kita. Ia juga ujian terhadap kerajaan sama ada mahu mengambil pendekatan lihat sahaja atau bertindak," katanya kepada pemberita selepas meninjau SRA Kampung Medan di sini hari ini.

Mohd Na'im berkata bantuan itu mencerminkan prinsip 'Ihsan' dalam gagasan Malaysia MADANI yang prihatin terhadap rakyat tanpa mengira latar belakang khususnya membabitkan mereka yang ditimpa musibah dan memerlukan bantuan.

Beliau berkata setiap agensi agama perlu memainkan peranan bukan hanya dalam aspek kerohanian, malah bertanggungjawab dari segi sosial dan kemanusian bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada perhatian dan kasih sayang kerajaan.

Dalam pada itu, Mohd Na'im berkata sebanyak RM70,000 daripada jumlah bantuan yang disalurkan diperuntukkan untuk membaik pulih SRA Kampung Medan termasuk surau yang terletak dalam kawasan sekolah.

Beliau berkata pihaknya akan memastikan sekolah dan surau yang menampung 1,500 murid itu dapat dibaik pulih secepat mungkin untuk keselesaan pelajar, khususnya yang akan menduduki Ujian Penilaian Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) pada 17 Nov ini.

"Insya-Allah dengan kerjasama semua, proses pemulihan dapat disegerakan. Kerajaan MADANI melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus cakna dan prihatin terhadap kebajikan rakyat," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 4.15 petang Rabu lepas, sebanyak enam sekolah, sebuah dewan dan lebih kurang 40 rumah dilaporkan mengalami kerosakan termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan, Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan, SK Jalan Tanjung, SK Sungai Binjai, Dewan Wawasan Batu 9, Pejabat Penyelaras DUN Sijangkang, kawasan perumahan Batu 9, dan kawasan industri Taman Sijangkang Jaya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan