KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Aktiviti luar dan program berasaskan komuniti memainkan peranan penting dalam membentuk disiplin serta mengurangkan isu sosial dalam kalangan pelajar, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy.
Beliau berkata inisiatif seumpama itu bukan hanya membolehkan anak muda bersosialisasi dan memahami lebih mendalam dunia di sekeliling mereka tetapi juga memupuk semangat kekitaan dan tanggungjawab kepada negara.
“Selain pendidikan dan langkah yang diambil oleh pihak sekolah, aktiviti di luar bilik darjah pun sangat penting supaya anak muda mendapat pendedahan dari segi ilmu dan pengalaman, serta fokus pada perkara yang positif.
“Kementerian Perpaduan Negara juga ada banyak program di Arkib Negara dan muzium di seluruh negara, mereka boleh datang untuk menghayati kisah sejarah dan perjuangan yang diharap dapat membantu membina jati diri agar menjadi rakyat yang lebih bermakna dan berguna kepada negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Saraswathy ditemui selepas menghadiri majlis penyampaian sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) kepada Raaji Silk Palace sebagai ‘Rangkaian Peruncit Pakaian Tradisional India Terbanyak’ dengan 18 cawangan.
Sijil tersebut disampaikan oleh wakil MBOR V. Menaga kepada pengasas Raaji Silk Palace Datuk L. Gandesan.
Saraswathy, yang turut menyampaikan sumbangan Deepavali daripada Raaji Silk Palace kepada beberapa penerima kurang bernasib baik, berharap lebih banyak entiti perniagaan tampil membantu golongan B40 semasa musim perayaan ini.
Negara baru-baru ini dikejutkan dengan beberapa insiden di sekolah, termasuk kes seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut ditikam pelajar lelaki berusia 14 tahun di Petaling Jaya, Selangor dan kes rogol membabitkan empat pelajar lelaki Tingkatan Lima ke atas pelajar perempuan Tingkatan Tiga di Melaka.
Sementara itu, Gandesan berkata rangkaian tekstilnya telah menyumbang kira-kira 1,500 set pakaian untuk Deepavali sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat tahunan mereka.
“Ini juga tanda penghargaan kepada rakyat Malaysia susulan pencapaian luar biasa sejak cawangan pertama kami dibuka pada 1997. Kami berharap untuk membangunkan kilang tekstil sendiri pada masa depan supaya kami boleh menghasilkan dan menjual pakaian dengan label ‘Buatan Malaysia’,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial