AM > BERITA

IGEM 2025 Perkukuh Kedudukan Pacu Teknologi Hijau, Tonjol Kemampuan PMKS Ke Pasaran Global

17/10/2025 09:22 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2025 mengukuhkan kedudukan negara sebagai platform utama mengetengahkan teknologi hijau di rantau ini, termasuk teknologi buatan tempatan daripada sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) Saiful Adib Abdul Munaff berkata program itu berjaya melibatkan penyertaan 412 syarikat, dengan 50 peratus adalah pempamer tempatan khususnya daripada sektor PMKS.

“Platform IGEM ini penting kerana ia ruang terbaik bagi PMKS memperkenalkan produk dan teknologi mereka kepada pasaran dunia, edisi kali ini melibatkan lebih banyak penyertaan peserta PMKS.

“Sepanjang tiga hari berlangsung, IGEM 2025 menerima lebih 55,000 pengunjung, sekali gus melepasi sasaran awal 50,000 orang,” katanya selepas majlis apresiasi minum petang di sini hari ini.

Terdahulu, majlis itu disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Dr Ching Thoo Kim.

IGEM 2025 yang dianjurkan NRES dengan kerjasama MGTC berlangsung sejak Selasa dengan jangkaan menjana potensi perniagaan bernilai RM5.5 bilion.

Selain penganjuran IGEM 2025, turut diadakan Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur (KLSS) yang berjaya menghimpunkan lebih 477 peserta daripada 300 organisasi mewakili 17 negara.

Saiful Adib berkata selain menarik minat masyarakat terhadap agenda hijau, pameran kali ini turut menyaksikan peningkatan penyertaan PMKS tempatan yang semakin aktif membangunkan produk dan penyelesaian teknologi hijau.

Beliau berkata pameran itu turut menampilkan lapan pavilion antarabangsa yang mempamerkan teknologi baharu daripada negara masing-masing, menjadikannya antara edisi IGEM paling besar sejak mula dianjurkan.

Menurut Saiful Adib, penganjur sedang menyelaras angka muktamad nilai potensi perniagaan dengan jumlah semasa yang direkod difahamkan melebihi sasaran RM5.5 bilion, bagaimanapun angka rasmi akan diumumkan kelak.

Beliau berkata memaklumkan IGEM edisi seterusnya akan diadakan pada 7 hingga 9 Okt 2026 dan mengekalkan fokus terhadap inovasi tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan hijau serta penyelesaian teknologi bagi menangani perubahan iklim.

“Tahun depan kami akan teruskan momentum ini dengan menjemput lebih banyak pempamer tempatan dan kami yakin penyertaan IGEM terus meningkat selaras dengan pertumbuhan sektor teknologi hijau di Malaysia serta komitmen negara terhadap sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan