AM > BERITA

Simposium JPPM 2025 Perkukuh Peranan Pertubuhan Berdaftar

18/10/2025 01:22 PM

ALOR GAJAH, 18 Okt (Bernama) -- Peranan pertubuhan berdaftar sebagai tonggak utama dalam memacu pembangunan masyarakat dan kemajuan negara diperkukuh menerusi Simposium Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) 2025.

Unit Komunikasi Korporat JPPM dalam kenyataan memaklumkan simposium bertemakan ‘Membina Kepercayaan, Memastikan Ketelusan’ itu adalah satu platform strategik untuk merekayasa hala tuju pertubuhan berdaftar ke arah masyarakat Malaysia yang lebih inklusif, progresif dan sejahtera.

Menurut kenyataan itu, ia selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, selain memperkukuh usaha JPPM dalam menyokong pembangunan masyarakat sivil yang mampan, berintegriti dan berdaya tahan di negara ini.

“Inisiatif ini membuka ruang bagi pertukaran pandangan, perkongsian ilmu dan pengalaman antara pemimpin pertubuhan, agensi kerajaan serta pakar pelbagai bidang melalui sesi forum dan dialog.

“Ia seterusnya menggalakkan jalinan kerjasama strategik antara pertubuhan dan agensi kerajaan yang berkaitan, ke arah meningkatkan tadbir urus dan keberkesanan pertubuhan berdaftar,” menurut kenyataan itu.

Simposium selama dua hari bermula hari ini dirasmikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam pada itu, kenyataan itu memaklumkan JPPM turut melancarkan Sistem Elektronik Pendaftaran Pertubuhan (eROSES 2.0) yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (Al) bagi mempertingkat kecekapan perkhidmatan dan menandakan transformasi digital JPPM ke arah ekosistem yang lebih efisien, mesra pengguna dan responsif.

“Penganjuran simposium ini diharapkan akan menyokong agenda Kerajaan MADANI yang menekankan kepentingan pembangunan masyarakat sivil melalui pertubuhan berdaftar sebagai rakan strategik kerajaan dan jambatan penghubung yang efektif dalam memperkukuh perpaduan nasional, pembangunan sosial dan keterangkuman masyarakat dalam menghadapi cabaran semasa,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan