EKONOMI > BERITA

EXPERT 2025 LEPASI SASARAN RM2 JUTA, PERKUKUH TRANSFORMASI DIGITAL USAHAWAN

19/10/2025 01:30 PM

TASEK GELUGOR, 19 Okt (Bernama) -- Ekspo PERDA (EXPERT) 2025 yang diadakan di Midtown Perda Kubang Menerong di sini sejak Khamis lepas berjaya melepasi sasaran RM2 juta nilai jualan dan kontrak selain menarik kehadiran lebih 75,000 pengunjung.

Pengerusi PERDA Datuk Shaik Hussein Mydin berkata kejayaan itu turut memperlihatkan pencapaian penting dalam usaha memperkasakan transformasi digital usahawan tempatan luar bandar apabila semua urusan jualan dilaksanakan sepenuhnya melalui transaksi tanpa tunai.

Katanya pelaksanaan transaksi digital itu selaras dengan tema tahun ini “Transformasi Digital, Reformasi Keusahawanan,” yang bertujuan menggalakkan usahawan melangkah ke arah pendigitalan dan memperkukuh daya saing mereka di peringkat moden serta global.

“Sasaran kita melalui penganjuran EXPERT tahun ini adalah untuk memastikan lebih banyak usahawan menggunakan kaedah digital transaksi tanpa tunai dan semua berjaya melaksanakannya.

“Berdasarkan kejayaan serta sambutan menggalakkan yang diterima, kita berharap menganjurkan ekspo ini dalam skala lebih besar tahun depan, dengan kerjasama Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang dan Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian EXPERT 2025 yang disempurnakan Pengerusi MPBPP Tan Sri Khalid Ramli di sini malam tadi.

Shaik Hussein berkata penyertaan dalam ekspo seumpamanya turut memberi kelebihan kepada usahawan bimbingan PERDA, menjadikan mereka lebih bersedia dan berdaya saing berbanding usahawan lain.

Menurutnya PERDA kini sedang membangunkan satu aplikasi digital baharu yang berupaya bersaing dengan platform ekonomi gig sedia ada khususnya bagi membantu usahawan Bumiputera meningkatkan kecekapan perniagaan serta keuntungan mereka.

“Kita menjangkakan aplikasi ini akan siap dalam masa enam bulan dari sekarang dan selepas itu kita akan melaksanakan jalanan ujian terlebih dahulu sebelum ia mula dilaksanakan sepenuhnya.

“Saya yakin pada tahun depan semua usahawan ini dapat dibiasakan dengan aplikasi PERDA dan menggunakannya untuk masa akan datang bagi mengukuhkan perniagaan mereka,” katanya.

Shaik Hussein berkata EXPERT yang telah memasuki edisi keempat tahun ini melibatkan 252 reruai usahawan daripada pelbagai sektor perniagaan termasuk makanan, perkhidmatan, inovasi dan teknologi tempatan.

Katanya EXPERT adalah platform strategik anjuran PERDA bagi mengetengahkan produk dan perkhidmatan usahawan tempatan ke peringkat lebih tinggi, di samping menjadi landasan penting dalam memperkasakan ekonomi Bumiputera menerusi transformasi digital, inovasi dan daya saing keusahawanan.

Sementara itu, Khalid menekankan bahawa transformasi digital dan reformasi keusahawanan menjadi asas penting kepada hala tuju pembangunan usahawan Bumiputera yang lebih inklusif dan berpaksikan teknologi.

“Transformasi digital bukan sekadar penggunaan teknologi, tetapi satu perubahan budaya dan paradigma keusahawanan. Usahawan Bumiputera perlu berinovasi, berani berubah dan berkolaborasi untuk kekal relevan dalam pasaran global,” katanya.

Selain jualan, EXPERT yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis lepas dan berakhir hari ini diisi dengan pelbagai aktiviti sampingan menarik antaranya Jualan Agro MADANI, meow meow show, EXPERTV Night Run, pertandingan Pitch Usahawan Muda, Kids Fashionista, karnival kerjaya MyfutureJobs @ EXPERT 2025, pertandingan e-sukan dan persembahan konsert oleh barisan artis tempatan.

Bersempena majlis perasmian itu, Anugerah Usahawan Bumiputera MADANI turut diadakan sebagai pengiktirafan kepada usahawan yang menunjukkan ciri kepimpinan, inovasi, tanggungjawab sosial serta keserasian dengan nilai-nilai MADANI.

Sebanyak lima kategori anugerah telah dipertandingkan melibatkan pelbagai sektor keusahawanan, dengan 17 syarikat tempatan menerima pengiktirafan atas kejayaan dan sumbangan mereka dalam pembangunan ekonomi serta komuniti setempat.

Anugerah berprestij itu bukan sekadar penghormatan malah turut menjadi suntikan semangat kepada ekosistem usahawan Pulau Pinang untuk terus berkembang berteraskan nilai integriti, keberlanjutan dan daya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan