AM > BERITA

ESG: Memahami ESG, Penemuan Invasif Minimum Dalam Pengurusan Obesiti

21/10/2025 09:52 AM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Gastroplasti Lengan Endoskopik (ESG) ialah prosedur invasif minimum yang mengurangkan kapasiti perut tanpa memerlukan pembedahan. Kaedah itu sedang dikaji sebagai sebahagian daripada pendekatan lebih menyeluruh untuk menguruskan obesiti di bawah pengawasan perubatan.

Pakar Perunding Gastroenterologi & Hepatologi serta Endoskopi Bariatrik Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) Dr Yong Karl King berkata obesiti yang sebelum ini dianggap isu kosmetik, kini diiktiraf pada peringkat global sebagai penyakit yang memerlukan rawatan perubatan, namun ramai pesakit masih berhadapan stigma tidak adil dan kekurangan pilihan rawatan yang boleh diakses.

Beliau berkata separuh daripada populasi dewasa di Malaysia, mempunyai berat badan berlebihan atau obes, keadaan yang diburukan lagi oleh stigma dan kurangnya penerimaan terhadap masalah itu.

“Obesiti bukan hanya berlaku di Malaysia, ia merupakan satu pandemik global. Ramai yang tidak mendapatkan bantuan perubatan kerana bimbang akan dipandang serong,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata pendekatan tradisional dalam rawatan obesiti sering berkisar antara pengubahsuaian gaya hidup dan pembedahan bariatrik sepenuhnya, menjadikan pesakit kekurangan pilihan rawatan yang berada pada pertengahan kedua-dua kaedah tersebut.

“ESG kini menjadi antara beberapa prosedur perubatan yang sedang diteroka untuk membantu pesakit yang bergelut dengan obesiti di bawah pengawasan doktor.

Dr Yong berkata perubahan gaya hidup seperti pemakanan sihat dan senaman tetap menjadi asas penting, manakala pembedahan bariatrik telah lama digunakan selama beberapa dekad. Namun, perkembangan paling menarik kini terletak antara ubat antiobesiti dan endoskopi bariatrik.

“ESG bukan satu pembedahan. Ia diklasifikasikan sebagai prosedur endoskopik invasif minimum untuk membentuk semula perut. Prosedur ini dilakukan di bawah bius penuh, melalui mulut menggunakan endoskop, dan melibatkan jahitan atau lipatan pada perut, bagi mengurangkan kapasiti perut tanpa membuang mana-mana bahagian usus atau perut. Tiada sebarang potongan atau parut.

“Beberapa kajian menunjukkan pesakit boleh mengalami purata penurunan berat badan sekitar 14 hingga 17 peratus daripada jumlah berat badan dalam tempoh setahun, dengan syarat mereka terus mengamalkan perubahan gaya hidup selepas prosedur tersebut. Hasilnya mungkin berbeza antara individu,” katanya.

Dr Yong yang merupakan antara pelopor awal dan individu yang mengetuai pelaksanaan ESG di Hospital St Mary’s, Imperial College Healthcare NHS Trust, London, United Kingdom, berkata ESG mempunyai beberapa kelebihan berbanding pembedahan bariatrik tradisional, termasuk dari segi keselamatan, kebolehbalikan dan kebolehulangan.

“Jika pesakit kembali mengalami pertambahan berat badan selepas beberapa tahun, prosedur ini boleh diulangi. Jika mereka tidak berpuas hati dengan kesannya, satu lagi prosedur endoskopik boleh dilakukan untuk membuka jahitan tersebut. Fleksibiliti seperti ini tidak wujud dalam pembedahan,” katanya.

Beliau berkata satu lagi kelebihan ESG ialah ia boleh berfungsi sebagai “jambatan” bagi pesakit berisiko tinggi sebelum menjalani pembedahan bariatrik pada masa hadapan, pembedahan utama yang perlu dilakukan segera, atau rawatan kesuburan.

Walaupun pengalaman pesakit berbeza-beza, Dr Yong menjelaskan bahawa sebahagian besar pesakit dapat menyesuaikan diri dengan baik selepas prosedur, dengan hanya mengalami ketidakselesaan awal seperti loya, muntah dan kekejangan perut ringan yang biasanya hilang dalam tempoh beberapa hari hingga bulan. Paling penting, kebanyakan pesakit yang menjalani ESG pulih tanpa perlu menerima rawatan rapit (ICU).

Namun begitu, walaupun prosedur itu mempunyai profil keselamatan yang baik, Dr Yong mengingatkan bahawa ESG, seperti mana-mana prosedur lain, tetap mempunyai risiko seperti pendarahan, jangkitan dan penurunan berat badan berlebihan, namun kes-kes itu jarang berlaku dan boleh dikawal.

Beliau menegaskan bahawa keselamatan pesakit adalah keutamaan utama dan penilaian menyeluruh amat penting bagi menentukan sama ada seseorang pesakit sesuai untuk menjalani prosedur ESG.

Dr Yong berkata kriteria kelayakan untuk menjalani ESG termasuk individu yang berlebihan berat badan atau obes (BMI ≥ 27.5kg/m²), serta telah gagal menurunkan berat badan melalui perubahan gaya hidup.

Beliau berkata kategori pesakit yang layak termasuk mereka yang tidak mahu menjalani pembedahan atau mengambil ubat jangka panjang, mereka yang mempunyai penyakit berkaitan obesiti seperti diabetes dan apnea tidur, serta pesakit berisiko tinggi untuk pembedahan atau tidak sesuai menjalani pembedahan kerana pernah menjalani pembedahan abdomen terdahulu dan tertakluk kepada nasihat profesional kesihatan masing-masing.

Beliau berkata satu kumpulan pesakit yang semakin meningkat terdiri daripada mereka yang pernah mengambil ubat pelangsing, tetapi kini berhasrat mencari kaedah yang lebih berkekalan dan lestari untuk menguruskan berat badan.

Dr Yong berkata, di beberapa negara seperti United Kingdom, ESG telah dimasukkan dalam perkhidmatan klinikal di bawah program kesihatan tertentu. Penggunaannya di Malaysia pula ditentukan oleh garis panduan pengawalseliaan tempatan dan amalan klinikal sedia ada.

Beliau menegaskan bahawa ESG bukan penawar menyeluruh (panacea) dan bukan bertujuan menghapuskan rasa lapar, tetapi berfungsi sebagai sokongan untuk membantu kawalan pengambilan makanan, dengan memberikan rasa kenyang lebih awal agar pesakit dapat mengawal tabiat pemakanan mereka sendiri.

“Saya ingin menegaskan bahawa ini bukan satu prosedur kosmetik. Matlamat utama ESG adalah untuk mencegah komplikasi kesihatan akibat obesiti. Hasil akhirnya ialah peningkatan kesihatan dan kepuasan jangka panjang pesakit. Mereka berhak mempunyai pilihan rawatan selain perubahan gaya hidup ekstrem atau pembedahan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan