Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijangka memberi penekanan utama kepada usaha meningkatkan perdagangan dalam lingkungan blok serantau, memperkukuh kerjasama digital serta melaksanakan inisiatif ke arah ekonomi yang lebih lestari dan mampan.
Pengarah Institut Pengajian Asia Timur, Universiti Thammasat Thailand, Prof Madya Dr Chaiwat Meesanthan berkata sidang kemuncak itu memberi peluang kepada negara anggota seperti Thailand untuk menyokong hubungan perdagangan serantau serta membuka lebih banyak pelaburan yang mungkin.
“Peluang besar untuk negara seperti Thailand. Pengurangan halangan perdagangan juga ada dalam agenda manakala perniagaan kecil akan lebih mudah untuk meraih manfaat daripada perkembangan e-dagang di seluruh rantau ini,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata Malaysia telah membuktikan prestasi yang baik sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, yang turut mencerminkan usaha semasa global, untuk menempa pertumbuhan seragam serta perpaduan blok ini.
“Walaupun senarai tugas masih panjang, dipenuhi pelbagai perkara namun, banyak kestabilan dapat dilihat di bawah kepimpinan Malaysia, gabungan keseimbangan dan boleh jangka, dengan niat memikirkan masa depan,” katanya.
Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dari 26 hingga 28 Oktober, ketika ekonomi global menghadapi peningkatan tekanan akibat langkah tarif Amerika Syarikat (AS) serta ketidaktentuan geopolitik yang berterusan.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand meningkat pada kadar 2.8 peratus pada suku kedua 2025, lebih rendah berbanding pertumbuhan 3.2 peratus yang dicatatkan pada suku pertama, menurut Pejabat Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Kebangsaan Thailand.
Prestasi itu disebabkan oleh kelembapan yang dialami sektor bukan pertanian, terutama aktiviti berkaitan pelancongan dalam sektor perkhidmatan, manakala sektor pertanian terus mencatatkan pertumbuhan.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, jumlah perdagangan Thailand mencecah US$448.06 bilion dengan eksport melonjak 13.3 peratus kepada US$223.17 bilion, manakala import meningkat 11.3 peratus kepada US$224.88 bilion, sekali gus mengakibatkan defisit perdagangan US$1.70 bilion.
Menurut Pejabat Dasar dan Strategi Perdagangan Thailand, unjuran eksport bagi baki tempoh 2025 dijangka kekal pada trajektori positif.
“Kebimbangan terhadap kesan ekoran tarif balas AS telah berkurangan susulan kejayaan rundingan dan perjanjian perdagangan antara AS dengan beberapa negara dan rantau, yang membawa kepada pengurangan kadar tarif daripada yang diumumkan lebih awal,” katanya.
Sementara itu, bagi 2025 dari Januari hingga Ogos, nilai perdagangan antara Malaysia dan Thailand berjumlah US$18.64 bilion dan kedua-dua negara menyasar untuk meningkatkan jumlah perdagangan dua hala kepada US$30 bilion menjelang 2027.
Pada 2024, Thailand ialah rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara ASEAN, dengan jumlah perdagangan mencecah US$25.03 bilion (RM114.56 bilion).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial