BERITA TERGEMPAR   Air Force One carrying US President Trump has landed at KLIA at 9.54 am | 
 AM > BERITA

KUIM 1.0 Tekankan Peranan Ulama, Ilmuwan Perkukuh Perpaduan

25/10/2025 08:55 PM

KUALA NERUS, 25 Okt (Bernama) -- Kongres Ulama dan Ilmuwan Malaysia-Terengganu 1.0 (KUIM), menekankan peranan penting golongan ulama dan ilmuwan dalam mengajak masyarakat memperkukuh perpaduan, meskipun mempunyai perbezaan pandangan dalam politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata politik, seharusnya menjadi wadah untuk menyatukan masyarakat dan bukan punca kepada perpecahan.

“Kita mungkin boleh berbeza dari sudut politi,k tetapi yang penting ialah politik itu tidak seharusnya membawa kita kepada perpecahan. Adab-adab, ikhtilaf, perbezaan pandangan itu sangat penting.

“Biarlah parti ramai tak apa, tapi bagaimana ahli parti itu menguruskan parti masing-masing. Jadi sepatutnya parti-parti politik itu digunakan untuk menyatukan masyarakat dan umat khususnya di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Ulama Dan Ilmuwan Malaysia Terengganu 1.0 (KUIM) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Nai’m berkata penekanan juga diberikan kepada politik pembangunan dan ia tidak boleh dipisahkan daripada nilai Islam.

“Ini kerana Islam satu agama yang asasnya itu sangat penting dan tidak menafikan pembangunan  ekonomi, tetapi paling penting ialah membina masyarakat yang mempunyai nilai-nilai dan akhlak serta budi pekerti yang mulia,” katanya.

Mohd Nai’m berkata agensi-agensi agama di bawah seliaannya seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), akan bekerjasama dengan pihak penganjur dan Pejabat Timbalan Perdana Menteri khususnya Penasihat Agama Kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, bagi memastikan resolusi yang dicapai dalam kongres itu dapat dilaksanakan.

“Kita mahu resolusi ini bukan sekadar di atas kertas tetapi dapat dilaksanakan khususnya dalam menuju satu negara dan masyarakat MADANI,” katanya.

Terdahulu, Mohd Nai’m ketika berucap berkata semua pembentangan dan wacana yang disampaikan oleh tokoh-tokoh terkemuka sepanjang kongres itu, akan memperkayakan tasawur serta memberikan input baharu kepada semua pihak.

“Apa yang lebih penting ialah memastikan semua input tersebut disampaikan kepada masyarakat. Saya yakin kongres ini telah merumuskan satu resolusi bagi memperkukuh peranan ulama dan ilmuwan sebagai pemangkin perpaduan, penyemai kasih sayang serta penegak keadilan,” katanya sambil menambah beliau bersama JAKIM dan YADIM akan meneliti kesemua resolusi yang telah dicapai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan