| BERITA TERGEMPAR | Air Force One carrying US President Trump has landed at KLIA at 9.54 am | |
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Timor-Leste hari ini memperkukuh hubungan dua hala menerusi pemeteraian dua memorandum persefahaman (MOU) penting, sekali gus menandakan komitmen baharu untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang telekomunikasi dan media.
MOU berkenaan ditandatangani oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Pengangkutan dan Komunikasi Timor-Leste Miguel Marques Gonçalves Manetelu serta Setiausaha Negara bagi Komunikasi Sosial Expedito Loro Dias Ximenes.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan Kementerian Komunikasi, Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi Timor-Leste serta Setiausaha Negara bagi Komunikasi Sosial, pemeteraian MOU tersebut merupakan satu pencapaian penting yang mencerminkan persahabatan erat dan kepercayaan bersama antara kedua-dua negara.
Malaysia turut menjadi antara negara terawal yang mengiktiraf kemerdekaan Timor-Leste pada 2002.
“Kedua-dua negara menegaskan semula komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama dua hala dan mempertingkat hubungan antara rakyat.
“Malaysia dan Timor-Leste juga berhasrat untuk terus bekerjasama ke arah pembentukan rantau Asia Tenggara yang lebih saling berhubung, berdaya tahan dan berpandangan jauh,” kata kenyataan itu.
Ia berkata MOU pertama mengenai kerjasama telekomunikasi dimeterai antara Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pengangkutan serta Komunikasi Timor-Leste.
Perjanjian tersebut menekankan komitmen bersama untuk memperkukuh infrastruktur telekomunikasi, meningkatkan kesalinghubungan digital serta memupuk perkongsian kepakaran teknikal demi manfaat kedua-dua negara.
Sementara itu, MOU kedua mengenai pembangunan maklumat dan media dimeterai antara Kementerian Komunikasi dan Setiausaha Negara bagi Komunikasi Sosial Timor-Leste, bertujuan menggalakkan kerjasama profesional melalui pertukaran maklumat, perkongsian berita serta program pembangunan kapasiti untuk pengamal media.
Terdahulu hari ini, Kementerian Komunikasi dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa rakyat Malaysia di Timor-Leste kini boleh menikmati perkhidmatan perayauan data tanpa gangguan pada kadar mampu milik, susulan kejayaan pengaktifan perkhidmatan itu oleh syarikat telekomunikasi utama negara tersebut bulan ini.
Menurut kenyataan itu lagi, mulai 17 Okt lepas, CelcomDigi, Maxis, TM dan U Mobile berjaya mengaktifkan perkhidmatan perayauan data di Timor-Leste, manakala YTL Communications memulakan perkhidmatannya pada 24 Okt.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial