KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Dalam ucapan beliau sempena Majlis Pelancaran Inisiatif ASEAN mengenai “Keterangkuman dan Kemampanan” pada 24 Oktober, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menyatakan dengan tegas: “Our gathering today marks the beginning of a new chapter in the history of ASEAN… to be a fruitful endeavour in the pursuit of our long-term dreams for the region.”
Tiga inisiatif utama yang diumumkan oleh beliau, iaitu ‘Micro, Small and Medium Enterprises (MSME) Excellence Centre for Green Transition in ASEAN (MEGA)’, laporan ‘ASEAN Ahead: STI Ecosystem Foresight 2035 and Beyond’ dan buku ‘ASEAN in 2025: Shaping an Inclusive and Sustainable Future’, dilihat sebagai legasi penting ASEAN di bawah Kepengerusian Malaysia.
Penegasan dan inisiatif-inisiatif dalam detik bersejarah bagi ASEAN ini merupakan bukti nyata kepimpinan strategik Malaysia dalam menterjemahkan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” kepada tindakan yang berimpak tinggi.
Ketiga-tiga inisiatif ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pembangunan serantau, malah mencerminkan keupayaan diplomasi Malaysia dalam menyatukan visi dan tindakan konkrit di bawah kerangka ‘ASEAN Community Vision 2045’.
Ia menunjukkan bahawa Malaysia tidak hanya mahu memimpin ASEAN dalam tempoh setahun ini, tetapi meninggalkan warisan dasar dan institusi yang akan memberi manfaat kepada rantau ini untuk dekad-dekad akan datang.
Konsep “Keterangkuman” dalam teori pembangunan serantau menekankan penglibatan semua negara anggota dalam arus kemajuan ekonomi, teknologi dan sosial. Konsep “Kemampanan”pula menuntut keseimbangan antara pertumbuhan, keadilan sosial dan pemeliharaan alam sekitar.
Mohamad Hasan turut menegaskan kesemua elemen ini dalam ucapannya: “Throughout this year, our focus was clear: to ensure that ASEAN’s progress is inclusive, leaving no member state or community behind; and sustainable, balancing growth with responsibility”
Daripada perspektif ini, ucapan ini sejajar dengan teori ‘institutional readiness’, iaitu bahawa integrasi serantau hanya berkesan apabila setiap negara anggota mempunyai kapasiti dan komitmen yang setara untuk melaksanakan agenda bersama.
Ucapan ini juga memperlihatkan kejelasan visi Malaysia bahawa kejayaan ASEAN tidak boleh diukur hanya melalui angka ekonomi semata-mata, tetapi melalui kemajuan yang adil dan seimbang yang memanfaatkan semua negara anggota tanpa mengira saiz atau tahap pembangunan.
Kepengerusian Malaysia hadir dalam era yang digelar oleh Mohamad Hasan sebagai “an era marked by increased geostrategic contestation, environmental challenges, and technological disruption.” Dalam konteks ini, Malaysia berusaha menjadikan ASEAN sebagai platform aksi bersama dalam ekonomi hijau, inovasi dan keusahawanan mampan.
Salah satu inisiatif paling penting di bawah kepimpinan Malaysia ialah MEGA yang menumpukan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai tulang belakang ekonomi rantau ini.
Mohamad Hasan menyebut: “Across the region, micro, small, and medium enterprises are the backbone of our economies… Through MEGA, these MSMEs will gain access to an education and training hub that will facilitate their transition to green, sustainable business models.”
Untuk itu, MEGA boleh ditafsirkan sebagai mekanisme pembangunan kapasiti yang menggabungkan latihan, pemindahan teknologi dan pembiayaan hijau. Pendekatan ini mencerminkan gabungan pembangunan ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar selaras dengan prinsip Malaysia MADANI dan Sustainable Development Goals (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Dari sudut potensi, ketiga-tiga inisiatif Malaysia menonjolkan beberapa dimensi penting.
Dari sudut Dimensi Institusi, Malaysia memperkenalkan model baharu “legacy-based chairmanship” yang memberi tumpuan kepada kesinambungan projek melebihi tempoh setahun kepengerusian.
Dari sudut Dimensi Inovasi pula, Laporan ‘ASEAN Ahead 2035’ menjadi bukti bahawa negara ini berpegang kepada prinsip tadbir urus berasaskan ilmu dan pandang ke hadapan (evidence-based foresight). Seperti yang ditegaskan oleh Mohamad Hasan: “Foresight is not gazing into a crystal ball, hoping to predict the future, but about readiness, about seeing further so that we can act sooner.”
Kenyataan ini memperlihatkan pendekatan pragmatik dan saintifik dalam pembentukan dasar ASEAN yang berpaksikan pengetahuan, kesiapsiagaan dan inovasi. Malaysia melalui kepimpinannya berjaya mengangkat wacana sains, teknologi dan inovasi (STI) sebagai nadi kepada daya tahan dan daya saing rantau ini.
Sementara itu, dari sudut Dimensi Sosio-Ekonomi, buku ‘ASEAN in 2025’ pula memperkukuhkan peranan akademia, pemikir dasar dan komuniti epistemik ASEAN dalam merangka hala tuju serantau. Dengan penglibatan lebih 30 sarjana dan pemimpin pemikiran rantau ini, inisiatif tersebut membuktikan bahawa Malaysia mendorong ‘knowledge diplomacy’ sebagai instrumen baharu dalam hubungan antarabangsa.
Tidak dinafikan, pelaksanaan inisiatif besar seperti ini menuntut penyelarasan rapat antara negara anggota, penyediaan mekanisme bantuan silang (cross-capacity support) dan sistem penilaian berasaskan hasil (results-based framework). Namun, di bawah kepimpinan Malaysia, semangat kerjasama serantau telah diperkukuh melalui pelbagai platform pemantauan dan perkongsian pengetahuan.
Malaysia juga aktif menggalakkan negara anggota agar memperkukuh kapasiti institusi domestik, memperluas latihan tenaga kerja hijau, dan menyokong PMKS dalam penyesuaian terhadap ekonomi rendah karbon. Usaha-usaha ini menunjukkan bahawa Malaysia tidak hanya bercakap tentang “Keterangkuman dan Kemampanan” tetapi ia juga memimpin dengan teladan (leading by example).
Dari segi teori pembangunan, inisiatif ini boleh dilihat melalui pendekatan ‘transformational regionalism’, iaitu integrasi berasaskan perubahan struktur, terutamanya bila pelaksanaan inisiatif ini melibatkan indikator konkrit seperti peningkatan penyertaan MSME dalam ekonomi hijau, peningkatan akses teknologi antara negara anggota dan pengurangan intensiti karbon, maka ia merupakan satu transformasi sebenar.
Ringkasnya, melalui visi dan tindakan strategik Mohamad Hasan, Malaysia berjaya meletakkan ASEAN pada landasan baharu yang lebih bersepadu, berdaya saing dan berjiwa manusiawi menjadikan Kepengerusian 2025 bukan sekadar simbol kejayaan diplomasi tetapi juga manifestasi kepimpinan berprinsip dan berpandangan jauh.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter      : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok       : @bernamaofficial