KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan tahniah kepada Timor-Leste atas penerimaan sebagai anggota penuh ke-11 ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di sini hari ini.
Beliau berkata langkah bersejarah itu bukan sahaja memperkukuh keluarga besar ASEAN, malah membuka ruang baharu dalam memperluas kerjasama ekonomi, pelaburan, pendidikan serta transformasi digital di rantau ini.
“Saya mendengar penuh teliti bait-bait ucapan Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao, yang menzahirkan tekad negara itu untuk berdikari sambil memperkukuh blok ASEAN. Ucapan beliau mencerminkan semangat sejati perpaduan dan kesepaduan Asia Tenggara yang menjadi nadi kepada ASEAN sejak penubuhannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid turut berkongsi pengalamannya semasa lawatan rasmi ke Timor-Leste pada Ogos tahun lepas, yang menyaksikan sendiri potensi besar, semangat rakyat serta kesungguhan kepimpinan negara itu untuk melangkah maju bersama rantau ini.
“Sekali lagi, tahniah kepada Timor-Leste atas kejayaan bersejarah ini. Tahniah juga kepada Malaysia sebagai tuan rumah dan Pengerusi ASEAN 2025 yang menjadi saksi kepada satu lagi detik bermakna dalam perjalanan serantau kita,” katanya.
Sementara itu, beberapa Menteri Kabinet turut merakamkan ucapan tahniah kepada Timor-Leste atas pencapaian bersejarah itu.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata penyertaan rasmi Timor-Leste menandakan lembaran baharu dalam perjalanan ASEAN yang semakin inklusif dan menyeluruh.
“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Timor-Leste atas penyertaan rasmi sebagai anggota baharu ASEAN. Kehadiran Timor-Leste menandakan lembaran baharu dalam perjalanan ASEAN yang semakin inklusif dan menyeluruh,” katanya.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula menyifatkan penyertaan Timor-Leste sebagai lambang semangat perpaduan dan keterangkuman yang menjadi asas kepada penubuhan ASEAN.
Timor-Leste mula memohon untuk menyertai ASEAN pada 2011 dan diterima secara prinsip sebagai anggota pada 2022 sebelum disahkan secara rasmi hari ini sebagai negara anggota penuh ASEAN ke-11.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial