AM > BERITA

KPDN Siap Kajian Semula Undang-Undang e-Dagang, Cadang Perkukuh Kawal Selia Platform Asing

28/10/2025 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyiapkan kajian semula undang-undang e-dagang bagi memperkukuh kawal selia sektor berkenaan, termasuk terhadap pengendali platform asing yang beroperasi di Malaysia.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Fuziah Salleh berkata kajian yang dimulakan pada April 2022 itu telah selesai pada 15 Okt lepas, merangkumi tiga teras utama dan 12 bidang tumpuan perundangan yang akan menjadi asas kepada pewujudan satu undang-undang e-dagang baharu.

“Antara tumpuan utama kajian ini termasuk memperkukuhkan perlindungan pengguna, meningkatkan keadilan dalam urus niaga bagi semua pihak dan mewujudkan kawal selia khusus kepada transaksi dalam talian,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mengenai garis panduan semasa yang diguna pakai dalam menentukan syarat kemasukan platform e-dagang asing ke pasaran Malaysia dan usaha kementerian untuk memperkenalkan dasar kawalan baharu yang lebih ketat supaya kuasa pasaran lebih seimbang dan tidak menjejaskan kemajuan industri tempatan.

Fuziah berkata hasil kajian tersebut kini sedang dimuktamadkan dalam bentuk kertas dasar untuk dibentang kepada Jemaah Menteri sebelum dirangka sebagai rang undang-undang baharu untuk dibawa ke Parlimen.

“Dengan adanya undang-undang baharu ini, kita akan dapat memastikan keadilan bukan sahaja kepada pengguna, tetapi juga kepada peniaga serta pengendali platform dalam memastikan ekosistem e-dagang yang lebih seimbang,” katanya.

Fuziah menjelaskan bahawa sektor e-dagang merupakan antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi digital negara dengan nilai pendapatan mencecah RM1.184 trilion pada 2023 dan dijangka mencapai RM1.65 trilion menjelang tahun ini, sekali gus membuka peluang pekerjaan baharu dan memperluas pasaran kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Namun setakat ini, katanya, hanya dua akta utama yang mengawal selia sektor berkenaan iaitu Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perdagangan Elektronik 2006, selain garis panduan penyertaan asing dalam sektor perdagangan dan pengedaran yang turut diguna pakai bagi kemasukan platform e-dagang luar ke pasaran tempatan.

“Seperti yang saya nyatakan, sektor ekonomi ini berkembang pesat dan sudah tentu undang-undang sedia ada tidak lagi mencukupi untuk merangkumi semua punca kuasa yang diperlukan bagi mengawal selia ekosistem secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, berhubung perancangan kementerian bagi menangani isu kenaikan yuran seperti kadar komisen yang dikenakan platform e-dagang terhadap peniaga tempatan, Fuziah berkata kadar berkenaan ditentukan berdasarkan pelbagai faktor termasuk kos promosi, pengiklanan, penyelenggaraan sistem dan pembangunan teknologi platform.

“Dalam hal ini, KPDN berpandangan bahawa perlu diadakan satu punca kuasa yang boleh memberikan kementerian kuasa untuk intervensi. Pada ketika ini, kita tidak ada punca kuasa untuk menetapkan kadar komisen.

“Namun, jika undang-undang baharu ini diluluskan, ia akan memberi punca kuasa kepada KPDN untuk mewajibkan pengendali platform memaklumkan kepada kementerian sekiranya ingin menaikkan kadar komisen,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Mohd Hasnizan.

Menjawab pertanyaan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai kedaulatan data pengguna dan aliran keluar modal melalui platform asing pula, Fuziah menjelaskan bahawa undang-undang baharu itu turut dicadang memberi kuasa kepada kementerian untuk memantau transaksi rentas sempadan.

“Dengan adanya punca kuasa tersebut, kita boleh bekerjasama dengan agensi lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memantau isu algoritma,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan