AM > BERITA

Pegawai Kanan Syarikat Lombong Emas Didakwa Terima Hasil Aktiviti Haram

29/10/2025 05:20 PM

TAWAU, 29 Okt (Bernama) -- Seorang pegawai kanan sebuah syarikat perlombongan emas di sini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima RM230,000 hasil daripada aktiviti haram sejak 2021 hingga 2023.

Brando Pang Tze Chiang, 50, mengangguk faham selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya, namun tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki itu kerana kes tersebut akan didengar di Mahkamah Sesyen.

Majistret Don Stiwin Malanjum kemudiannya membenarkan Pang diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan dan menetapkan esok untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen di sini.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua lelaki itu didakwa menerima wang masing-masing RM55,000 di akaun Public Bank serta RM75,000 di akaun Hong Leong Bank antara 17 April 2021 hingga 28 Okt 2021.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Pang didakwa menerima wang masing-masing RM40,000 di akaun Public Bank sama serta RM60,000 di akaun Hong Leong Bank sama antara 5 Mei 2022 hingga 2 Feb 2023. 

Lelaki itu didakwa menerima wang berkenaan daripada akaun Maybank milik Kedai Emas Sri Hawa ke dalam akaun Public Bank dan Hong Leong Bank miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4(1) akta sama.

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi manakala Pang diwakili peguam Vivian Thien.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan