AM > BERITA

38 Kes Kecurian Libatkan Kabel ECRL, Komponen Lain Direkodkan - MRL

29/10/2025 06:37 PM

KUALA TERENGGANU, 29 Okt (Bernama) -- Sebanyak 38 kes kecurian kabel penghubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan beberapa komponen lain, telah direkodkan di sepanjang jajaran pembinaan terutama di Terengganu dan Pahang bermula Januari hingga September lepas, dengan jumlah kerugiaan sebanyak RM2.9 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), telah mengambil pelbagai langkah keselamatan termasuk pemasangan 116 kamera litar tertutup (CCTV) serta menempatkan 67 pengawal keselamatan.

Beliau berkata usaha itu bagi memantau dan menyelia kawasan yang dikenal pasti sering berlakunya kejadian kecurian.

“Setakat ini apa yang kita rekodkan di negeri Terengganu ada...Pahang pun ada. Jadi, ia tidak tertumpu pada satu tempat. Kita menerima kerjasama baik daripada semua negeri terlibat untuk kita buat keterlibatan lebih kerap.

“Ini satu usaha berterusan dan kita mahu semua pihak mengambil serius, kerana masalah itu boleh menjejaskan pembukaan (operasi ECRL) sekiranya berterusan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Cabutan Undi Pakej Kerja Sub-Kontraktor Bumiputera G1 dan G2 Bagi Projek ECRL Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Sementara itu, Darwis berkata projek ECRL di Terengganu telah mencapai kemajuan sebanyak 93.55 peratus.

“Secara keseluruhannya projek ECRL telah mencapai kemajuan 88.08 peratus. Ini memberikan mesej bahawa kita berada pada landasan yang baik dan tepat untuk siap sepenuhnya pada Disember 2026 dan beroperasi pada Januari 2027,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan