Oleh Noorazlina Jindeh
KOTA KINABALU, 30 Okt (Bernama) -- Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) merancang untuk memberi tumpuan kepada konsultasi, latihan dan penyediaan peralatan sesuai bagi pengurusan buaya di kawasan berpenduduk padat dan berisiko tinggi.
Pengarah JHL Sabah Mohd Soffian Abu Bakar berkata pihaknya juga memberi kebenaran kepada agensi penguatkuasaan yang mempunyai lesen senjata api untuk melaksanakan pengurangan populasi buaya di lokasi terpilih, mengikut keperluan dan tahap ancaman di setiap daerah.
"Selain pengeluaran lesen memburu, beberapa langkah lain turut dirancang dan akan dilaksanakan. Antaranya termasuk melaksanakan program kesedaran awam mengenai langkah keselamatan dan cara mengelak daripada menjadi mangsa serangan buaya.
"Kami juga akan melatih komuniti setempat di kawasan berisiko tinggi untuk melaksanakan aktiviti mitigasi buaya termasuk kaedah pemantauan secara berkesan," katanya kepada Bernama.
Mohd Soffian berkata JHL Sabah sentiasa mengambil maklum kebimbangan masyarakat berhubung kekerapan kemunculan reptilia itu di kawasan penduduk dengan langkah yang telah digariskan akan membantu mengatasi konflik antara manusia dan hidupan liar.
Beliau berkata JHL membuka lesen memburu buaya sepanjang tahun, namun hanya 25 lesen memburu komersial dikeluarkan dalam tempoh setahun.
"Langkah ini sejajar dengan usaha JHL memastikan pemburuan dan penternakan dijalankan secara terkawal dan berteraskan prinsip pemuliharaan serta penggunaan lestari sumber hidupan liar di Sabah," katanya.
Mohd Soffian berkata sambutan orang ramai untuk memohon lesen memburu komersial buaya juga rendah kerana permintaan dalam negeri terhadap hasil buaya yang kurang menggalakkan.
Aktiviti pemburuan buaya di Sabah dibenarkan di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan sejak itu, JHL Sabah melaksanakan kawalan ketat terhadap pengeluaran lesen memburu serta permit penternakan buaya.
Kawalan ketat ini dibuat kerana ketika itu buaya tembaga masih tersenarai dalam Appendix 1, Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Fauna dan Flora Liar yang Terancam (CITES).
Di bawah CITES, perdagangan antarabangsa buaya masih tidak dibenarkan kecuali dari ladang penternakan buaya yang berdaftar dengan Sekretariat CITES.
Mohd Soffian berkata rekod terkini populasi buaya di Sabah yang dibuat melalui penyelidikan bagi tujuan penemuan tidak memudaratkan (NDF) yang dilaksanakan antara 2020 hingga 2023 menganggarkan reptilia itu berjumlah kira-kira 2,500 ekor sahaja.
Beliau berkata kajian itu melibatkan 10 batang sungai utama di Sabah, iaitu Sungai Kinabatangan dan Sungai Paitan di Sandakan, Sungai Padas dan Sungai Klias (Beaufort), Sungai Silabukan dan Sungai Segama (Lahad Datu), Sungai Bengkoka (Pitas), Sungai Labuk (Beluran), Sungai Serudong (Tawau) dan Sungai Kalumpang di Semporna.
Menurut beliau, kes serangan buaya terhadap manusia di Sabah pada tahun ini mencatatkan sebanyak 11 kematian dan dua kecederaan.
Pada 15 Julai lepas, seorang lelaki maut dipercayai menjadi mangsa serangan buaya di Sungai Taman Kenari, Sandakan.
Lokasi kejadian dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi kerana pernah berlaku beberapa kes serangan buaya sebelum ini, termasuk insiden terakhir pada September 2022 apabila hanya kepala seorang lelaki ditemukan selepas dipercayai dibaham buaya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter      : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok       : @bernamaofficial