AM > BERITA

Instrumen FCC Diperluas, Buka Ruang Lebih Luas Penyertaan Dalam Aktiviti Pemuliharaan, Perlindungan Hutan - Fadillah

30/10/2025 03:37 PM

SHAH ALAM, 30 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan memperluas pelaksanaan instrumen Sijil Pemuliharaan Hutan (FCC) bagi menggalakkan lebih banyak pihak menyertai dan menyumbang dalam aktiviti pemuliharaan serta perlindungan hutan negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata FCC merupakan instrumen pembiayaan hijau bukan pasaran yang diperkenalkan kerajaan bagi menangani perubahan iklim serta memelihara aset alam semula jadi strategik negara.

“Dalam usaha kerajaan menangani perubahan iklim serta memelihara aset alam semula jadi strategik negara, dua instrumen kewangan inovatif telah dan sedang dibangunkan, iaitu Forest Conservation Certificate (FCC) dan Forest Carbon Offset (FCO).

“Sehubungan itu, FCC akan diperluas bagi menggalakkan penyertaan dan sumbangan sektor swasta dalam membiayai keperluan kewangan bagi pelaksanaan aktiviti pemuliharaan serta perlindungan hutan dan biodiversiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran MSU Centre for Climate Resilience and Strategy (M-CREST) di Management and Science University (MSU) di sini, yang turut dihadiri Presiden dan Pengasas MSU Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Dilancarkan pada Mei tahun lalu, FCC yang dibangunkan oleh Dana Hutan Malaysia (MFF) sejak 2022 diperkenalkan sebagai instrumen untuk membiayai aktiviti pemuliharaan hutan dan penjagaan alam sekitar yang lestari. 

Di bawah kerangka itu, instrumen FCO turut dibangunkan sebagai penyelesaian berasaskan pasaran untuk memenuhi projek karbon hutan yang dijangka setanding dengan standard antarabangsa seperti Verra dan Gold Standard.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata FCO kini berada di fasa akhir pembangunan dan dijadual untuk dioperasikan pada suku pertama 2026. 

Beliau berkata FCO, yang direka berdasarkan keperluan dan spesifikasi tempatan, dibangunkan untuk menjadi instrumen perkreditan karbon negara serta pemangkin kepada pembangunan projek karbon di Malaysia.

“Pembangunan instrumen FCO juga adalah selaras dengan pelaksanaan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan yang akan dilancarkan; selain pelengkap kepada inisiatif Cukai Karbon kelak,” katanya.

Berhubung penubuhan M-CREST, Fadillah berkata inisiatif oleh MSU itu bertepatan dengan keperluan semasa dalam memperkukuh kerjasama pelbagai pihak bagi menghadapi isu dan cabaran perubahan iklim global yang semakin ketara kebelakangan ini.

Timbalan Perdana Menteri turut yakin pusat berkenaan bakal berperanan sebagai hab utama dalam menerajui pelbagai usaha dan strategi berkaitan perubahan iklim, selari dengan agenda global seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta hasrat Conference of the Parties (COP) di bawah United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC).

Fadillah juga menyarankan agar MSU M-CREST bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi memastikan negara dapat mengurangkan risiko berkaitan perubahan iklim.

Beliau berkata kerjasama itu termasuk menjalankan kajian mengenai mitigasi banjir menggunakan metodologi terkini seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi satelit.

“Saya yakin dan percaya, hasil sokongan berterusan dan kerjasama strategik melibatkan pelbagai pihak termasuk rakan-rakan industri, institusi pendidikan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat, hab ini (M-CREST)  akan menjadi pemacu kepada penyelesaian inovatif dan praktikal dalam meningkatkan daya tahan negara terhadap impak perubahan iklim,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan