PUTRAJAYA, 31 Okt (Bernama) - Bahagian Forensik Teknologi (BFT), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menghantar seramai empat pegawai mengikuti Kursus Amped FIVE di Amped Centre, Trieste, Itali.
Pegawai terbabit dari Seksyen Audio Video BFT itu mengikuti kursus selama 10 hari dikendalikan oleh firma Perisian Amped Software yang memberi fokus kepada kemahiran analisis video forensik, peningkatan kualiti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta pemulihan video yang rosak menggunakan perisian Amped FIVE.
Pengarah BFT SPRM, Wan Zulkifli Wan Jusoh berkata, pegawai turut didedahkan kepada teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam perisian forensik yang membolehkan proses penilaian bukti dijalankan lebih pantas dan tepat.
Beliau berkata, kursus ini sejajar dengan usaha BFT untuk meningkatkan keupayaan forensik digital di SPRM serta membantu menetapkan penanda aras antarabangsa bagi analisis audio dan video.
“Teknologi AI bukan lagi pilihan, tetapi keperluan bagi mempertingkat kecekapan dan kebolehpercayaan analisis forensik digital, khususnya dalam kes melibatkan bukti multimedia.
“Penguasaan teknologi AI penting dalam era digital masa kini demi memperkukuh kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan bahagian dalam menyokong siasatan operasi di SPRM,” katanya.
Selain latihan di Itali, salah seorang pegawai BFT SPRM, Taufik Mohd Hassan turut mengikuti program “Innovative AI and Data Solutions for Public Sectors Professional” di India, yang dianjurkan dengan kerjasama Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dan HCL Technologies.
Program ini memberi tumpuan kepada penerapan penyelesaian AI dan analitik data dalam sektor awam dimana pegawai akan didedahkan kepada konsep, aplikasi dan perkembangan terkini dalam bidang AI, sekali gus membolehkan mereka mengadaptasi teknologi tersebut dalam tugasan harian.
Sementara itu, BFT SPRM turut mencatat satu lagi pencapaian apabila berjaya mengekalkan pensijilan ISO/IEC 17025:2017 selepas melalui sesi audit pengawasan (surveillants) selama dua hari yang berlangsung pada 29 hingga 30 Oktober 2025.
Penyertaan pegawai BFT dalam kedua-dua program ini serta kejayaan mengekalkan pensijilan ISO/IEC 17025:2017 mencerminkan komitmen berterusan membangunkan kepakaran tempatan dan memperkukuh keupayaan forensik digital berasaskan AI selari dengan hasrat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang sering menekankan kepada penggunaan teknologi baharu bagi menangani jenayah rasuah yang semakin kompleks.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial