KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 bagi memperkukuh sistem perlindungan sosial negara dan memperluas perkhidmatan pekerjaan kepada lebih ramai rakyat, dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
RUU itu dibentangkan Menteri Sumber Manusia Steven Sim yang memaklumkan bacaan kali kedua akan dibuat pada mesyuarat Dewan Rakyat kali ini.
Kementerian Sumber Manusia menerusi kenyataan hari ini memaklumkan RUU itu bertujuan meningkatkan faedah kepada pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang kehilangan pekerjaan.
Ia juga bagi menggalakkan mobiliti tenaga kerja, menambah baik kecekapan operasi PERKESO untuk melaksanakan program penempatan pekerjaan semula serta memperkukuh tadbir urus pelaksanaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).
“Melalui pindaan ini, beberapa penambahbaikan dibuat dengan peningkatan kadar faedah sedia ada dan pengenalan faedah baharu iaitu Elaun Bantuan Mobiliti (EBM), para pencarum yang kehilangan pekerjaan boleh menikmati manfaat perlindungan dan sokongan latihan sehingga RM25,000,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu turut memaklumkan menerusi pindaan itu, pencarum layak menerima RM1,000 sekali bayar bagi EBM sekiranya menerima pekerjaan yang lebih 100 kilometer dari rumah.
Selain itu, Elaun Bekerja Semula Awal juga dinaikkan kepada 50 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan yang belum dibayar berbanding 25 peratus sebelum ini, selain peningkatan Elaun Latihan kepada RM30 sehari berbanding RM10 hingga RM20 sehari dan Fi Latihan kepada hingga RM7,000 daripada hingga RM4,000.
Kementerian itu juga memaklumkan pindaan berkenaan sejajar dengan keputusan Jemaah Menteri yang bersetuju Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) perlu disemak semula agar lebih dinamik dan responsif terhadap keperluan semasa pasaran buruh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial