AM > BERITA

Majlis Perjumpaan Jadi Platform Perkukuh Hubungan JPA Dan Kerajaan Negeri

06/11/2025 03:18 PM

MELAKA, 6 Nov (Bernama) -- Majlis perjumpaan antara Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz bersama pegawai awam Melaka menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara Jabatan Perkhidmatan Awam dan pentadbiran negeri.

Jabatan Perkhidmatan Awam memaklumkan pertemuan tersebut menekankan peranan pegawai awam sebagai tiang seri reformasi, penggerak perubahan dan pemegang amanah kepada aspirasi MADANI.

“Jabatan Perkhidmatan Awam dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka terus memperkukuh pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) berasaskan nilai H.E.M.A.T bagi memastikan tadbir urus kerajaan kekal berintegriti, responsif dan berimpak tinggi kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.

Nilai H.E.M.A.T. adalah singkatan untuk Hjrah Tata Kelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Telus Tadbiran.

Majlis berkenaan dirasmikan Wan Ahmad Dahlan dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad.

Pada majlis berkenaan, Wan Ahmad Dahlan turut melancarkan Manual Laporan Cadangan Pemajuan (LCP 2.0) Melaka iaitu satu inisiatif di bawah Program Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) yang dibangunkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Melaka.

Ia turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka serta bimbingan Malaysia Productivity Corporation (MPC).

Melalui pelaksanaan LCP 2.0, tempoh urusan pengambilan tanah berjaya dipendekkan daripada 36 bulan kepada hanya sembilan bulan, menjimatkan masa hampir 75 peratus dan mengurangkan kos pematuhan tahunan sebanyak RM6.22 juta.

Dalam kenyataan sama, Wan Ahmad Dahlan berkata LCP 2.0 membuktikan tadbir urus yang disusun semula secara empatik dan strategik memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Kejayaan reformasi harus diukur bukan sahaja melalui angka tetapi melalui tahap kepercayaan rakyat terhadap kerajaan yang mengutamakan ketelusan serta keberhasilan sebenar dalam penyampaian perkhidmatan,” katanya.

Wan Ahmad Dahlan turut meninjau First Aid Station Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Banda Hilir, inisiatif pertama seumpamanya di Malaysia hasil kerjasama MBMB dan St John Ambulans Malaysia.

Kemudahan ini menyediakan rawatan kecemasan segera kepada pelancong dan komuniti, mencerminkan nilai empati dalam penyampaian perkhidmatan awam. 

Beliau turut diberi taklimat mengenai Pasukan Paramedik Komuniti Melaka (Parakom), inisiatif kerajaan negeri sejak 2023 yang kini melibatkan lebih 1,500 sukarelawan di kawasan pelancongan utama serta program berskala besar.

“Melalui pelaksanaan LCP 2.0, kejayaan Parakom dan pembudayaan nilai H.E.M.A.T., Melaka kini muncul sebagai contoh nyata reformasi berasaskan nilai. 

“Kerjasama erat antara JPA dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka menzahirkan kekuatan tadbir urus yang berpaksikan integriti dan empati, sekali gus menjadikan Melaka lambang reformasi berjiwa rakyat di bawah aspirasi Kerajaan MADANI,” katanya.

Wan Ahmad Dahlan turut meluangkan masa menyantuni pesara perkhidmatan awam sebagai tanda penghargaan terhadap khidmat bakti mereka dalam membina asas pentadbiran negara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan