AM > BERITA

Lebih 950,000 Pesara Pekhidmatan Awam Bakal Nikmati Pelarasan SSPA Fasa 2

06/11/2025 06:36 PM

MELAKA, 6 Nov (Bernama) -- Lebih 950,000 pesara perkhidmatan awam bakal menikmati pelarasan pencen Fasa 2 di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) pada 1 Jan 2026, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz. 

Beliau berkata ia sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam menghargai pesara yang pernah menabur bakti memberi perkhidmatan kepada rakyat dalam bidang masing-masing. 

"Fasa pertama telah dilaksanakan dan insya-Allah kita tunggu Januari depan, fasa kedua bermula dan pesara akan menikmati pelarasan pencen mereka.

"Jadi amat jelas bahawa walaupun telah bersara daripada perkhidmatan kerajaan, kebajikan mereka tetap dititikberatkan," katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Pesara Uzur sempena Program Lawatan Kerja ke Negeri Melaka di Kampung Pulau Kelapa, Batu Hampar Peringgit di sini hari ini. 

Terdahulu, beliau menziarahi dan menyampaikan sumbangan kerusi roda elektrik kepada Azhar Hashim, 63, yang pernah berkhidmat di Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Melaka sebelum bersara pada 2009 kerana faktor kesihatan selepas menghidap kencing manis dan darah tinggi. 

Beliau turut menziarahi dan menyampaikan sumbangan katil kepada pesara Jabatan Imigresen Melaka, Bakhri Tamby Ali, 63, yang mengalami masalah buah pinggang dan jantung di Taman Bunga Raya, Bukit Beruang di sini.

Pada Ogos 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-19, berkata pesara dan penerima pencen terbitan akan menerima pelarasan pencen sama dengan kenaikan peratusan yang dinikmati penjawat awam sedang berkhidmat, melalui dua fasa.

Anwar  mengumumkan pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memilih skim SSPA akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa iaitu lapan peratus bagi Fasa 1 pada Dis 2024, manakala tujuh peratus untuk Fasa 2 pada Jan 2026.

Bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) pula akan menerima pelarasan gaji tujuh peratus dengan empat peratus bagi Fasa 1 dan tiga peratus bagi Fasa 2 manakala pesara Angkatan Tentera  Malaysia (ATM) yang bersara sebelum Januari 2013 akan menerima pelarasan kedua sebanyak tujuh peratus.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan